Cadangan pembangunan pusat data baharu di Elmina kukuh kedudukan Malaysia dalam sektor itu, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Cadangan pembangunan pusat data baharu di Elmina kukuh kedudukan Malaysia dalam sektor itu, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Cadangan Sime Darby Property Bhd untuk membangunkan pusat data di Elmina, Selangor mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai pusat data utama dengan pasaran sektor itu dijangka mencecah AS$4 bilion menjelang 2027 berbanding AS$1.8 bilion pada tahun lalu.

 

RHB Investment berkata, projek pusat data itu dijangka dimulakan pada suku kedua 2024 dengan sasaran siap sepenuhnya pada 2026.

 

Katanya, pusat data itu akan dibina di atas tanah seluas 19.82 hektar dengan anggaran kapasiti 130MW, dengan anggaran bajet RM20 juta bagi setiap MW, kos keseluruhan pusat data itu mungkin menelan belanja kira-kira RM2.6 bilion.

 

"Sime Darby Property dijangka menawarkan kontrak pembinaan DC di Elmina dan kami telah mengenal pasti beberapa nama yang boleh mendapat manfaat daripada projek ini. 

 

"Antara kontraktor yang berpengalaman termasuk Sunway Construction Group Bhd dan Gamuda Bhd.

 

"Sunway Constrution memiliki satu kontrak pusat data bernilai RM750 juta di Selangor dan kontrak RM1 bilion di Johor manakala Gamuda memiliki dua pekerja sama bernilai RM500 juta secara keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Sime Darby Property bekerjasama dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan pusat data hiperskala di Elmina Business Park.

 

Pearl Computing merupakan yang diperbadankan di Malaysia dan merupakan anak syarikat Raiden APAC Pte Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan Singapura, dan merupakan sebahagian daripada perbadanan teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS).

 

Sime Darby Property akan mengurus secara holistik reka bentuk dan pembangunan aset, termasuk perancangan dan pembinaan infrastruktur untuk memastikan kemudahan itu disesuaikan mengikut spesifikasi pemajak.

 

RHB Investment juga percaya bahawa HSS Engineers Bhd berpeluang berpeluang mendapatkan kontrak pengurusan pusat data kerana kumpulan itu sebelum ini dianugerahkan . kontrak perkhidmatan pengurusan bernilai RM8.8 juta untuk pusat data oleh Yellowwood Properties.

 

Katanya, memperoleh kontrak RM8.9 juta untuk reka bentuk kejuruteraan profesional dan perkhidmatan perundingan pusat data yang dibangunkan oleh Infinaxis di Cyberjaya.

 

"Kami berpendapat bahawa kontraktor yang paling menonjol adalah mereka yang dapat menampung masa pemulihan yang singkat yang diperlukan, seperti contoh, Gamuda berjaya menyiapkan AIMS Cyberjaya Block 2 DC berkapasiti 8MW dalam tempoh sembilan bulan menggunakan sistem bangunan industry atau rumusan IBS," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pembinaan. - DagangNews.com