Cadangan pengambilalihan TotalEnergies EP diunjur tingkatkan pendapatan Hibiscus Petroleum bermula separuh kedua 2025 | DagangNews Skip to main content

Cadangan pengambilalihan TotalEnergies EP diunjur tingkatkan pendapatan Hibiscus Petroleum bermula separuh kedua 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan cadangan Hibiscus Petroleum Bhd mengambil alih TotalEnergies EP (Brunei) B.V akan membantu meningkatkan pendapatan kumpulan itu bermula separuh kedua 2025 dan seterusnya.

 

Katanya, pada masa sama ia akan meningkatkan campuran portfolio gasnya sebagai asset baharu termasuk medan Blok B Maharajalela Jamalualam (MLJ) yang merupakan medan gas dengan 84% gas dan 16% minyak.

 

"Selepas pengambilalihan, profil pengeluaran dan simpanan Hibiscus dijangka meningkat dengan ketara melebihi 35%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hibiscus Petroleum cadang ambil alih TotalEnergies Brunei pada harga RM1.22 bilion

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga pemerolehan itu adalah adil, berdasarkan andaian LT RPS Energy untuk harga Minyak Mentah Brent antara AS$75-AS$95 bagi setiap tong.

 

Katanya, pengembilalihan itu juga mengambil kira penilaian EV/2P sebanyak AS$10/boe berdasarkan Rizab 2P sebanyak 21.7 juta boe pada 1 Januari 2024, EV bersamaan AS$217.1 juta yang difikirkan adil.

 

"Pemerolehan terbaharu itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan/atau hutang baharu," katanya.

 

Maybank IB berkata, sekiranya pemerolehan itu berjata, harga sasaran baharu (TP)  bagi kumpulan itu adalah RM1.99 sesaham.

 

Katanya, nilai kini bersih (NPV) tambahan sebanyak AS$195.7 juta (RM900.2 juta) akan dibayangi oleh peningkatan dalam kedudukan hutang bersih kumpulan kepada RM1.1 bilion (daripada kedudukan tunai bersih sebanyak RM98.6 juta pada akhir FY25), yang akan diperoleh dalam matriks penilaian.

 

"Bagaimanapun, kami menekankan bahawa kami mempunyai andaian harga minyak mentah LT yang lebih konservatif iaitu AS$65-AS$75/bbl (daripada RPS Energy)," katanya.- DagangNews.com