CAGR VS Industry bakal diperkukuhkan lagi hasil pelan pengembangan di Filipina - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

CAGR VS Industry bakal diperkukuhkan lagi hasil pelan pengembangan di Filipina - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) VS Industry Berhad akan diperkukuhkan lagi menerusi penambahan bahagian pasaran yang besar diraih daripada pelan pengembangannya di Filipina.

 

RHB Investment Bank berkata, selain itu, sumbangan berterusan daripada keupayaan yang baru dibangunkan dan peluang baharu yang timbul daripada peralihan akibat perang perdagangan juga bakal menyumbang kepada CAGR syarikat ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, VS Industry juga sedang giat melaksanakan langkah pemerolehan pelanggan baharu. 

 

"Saranan 'Beli' dikekalkan dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM1.49 sesaham daripada RM1.38, potensi kenaikan harga saham 17% dan kadar hasil dividen sekitar 3% untuk FY25F (Julai)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment dalam pada itu mengandaikan sumbangan dari Filipina memberi kesan kecil terhadap perolehan VS Industry pada tahun kewangan 2025 (FY25F) dengan kerugian permulaan perniagaan pada 3QFY25F akan diimbangi oleh perolehan sulung yang akan diterima pada 4QFY25F. 

 

Kata firma penyelidikan itu, perolehan FY26F ditingkatkan sebanyak 18% apabila sumbangan jualan diramalkan berjumlah RM900 juta daripada operasinya di Filipina.

 

"Pihak pengurusan melihat hal ini sebagai peluang strategik untuk mengembangkan bahagian pasarannya dengan Pelanggan X dan ia percaya kepakarannya yang unggul serta rekod prestasi yang baik dapat mengurangkan risiko pelaksanaan. 

 

"Tambahan lagi, model pegangan aset rendah yang akan diguna pakai pada peringkat awal usaha niaga ini akan menyebabkan kos tetap lebih rendah, lalu membawa kepada paras ambang jualan lebih rendah (RM300 juta) untuk mencapai pulangan modal. 

 

"Sementara itu, langkah mengumpul ekuiti untuk mengumpul dana sejumlah RM534 juta telah dimulakan untuk membiayai capex dan keperluan modal kerja yang dianggarkan mencecah RM400 juta - RM500 juta," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, penganalisisnya telah  mengunjungi barisan pengeluaran Getah Silikon Cecair (LSR) dan pencelupan, iaitu bahan mentah dan proses utama yang digunakan untuk produk yang VSI sedang hasilkan. 

 

Katanya, di samping dua keupayaan baharu lain yang syarikat ini Berjaya bangunkan, kandungan bahagian-bahagian dan proses-proses dalaman akan bertumbuh pada masa akan datang. 

 

"Dengan itu, ia dapat meraih margin untung lebih tinggi dan pada masa yang sama, penjimatan yang diterima daripada kos pengangkutan dapat dialihkan kepada pelanggan. 

 

"Perkara ini juga memberi lebih banyak ruang kelenturan dan daya saing buat VSI apabila menyertai tender kerja baharu. 

 

"Kami dapati bahawa keputusan untuk tender kerja baharu oleh Pelanggan X mungkin diketahui pada bulan Ogos atau September 2024," ujarnya. - DagangNews.com