Capital A akan lancar AirAsia Kemboja pada suku keempat 2023 | DagangNews Skip to main content

Capital A akan lancar AirAsia Kemboja pada suku keempat 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - AirAsia Kemboja yang juga syarikat penerbangan kos rendah di negara itu dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya akan berkembang di seluruh ASEAN berdasarkan rangkaian yang luas dan jenama yang kukuh, dengan pelancaran AirAsia Kemboja dijangka mula beroperasi selepas ini.

 

"Kami sedang melihat peluang untuk berkembang di mana-mana negara ASEAN yang layak menerima syarikat penerbangan," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan itu.

 

Beliau berkata, kumpulan penerbangan Capital A yang merangkumi AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia and AirAsia Filipina menyaksikan pengaktifan semula 127 kapal terbang pada suku pertama tahun ini dengan pertambahan keuntungan disebalik rasionalisasi tambang serta kestabilan faktor luaran.

 

Katanya, kumpulan penerbangan itu telah mengaktifkan semula 229 laluan, dengan sasaran untuk mengendalikan 290 laluan sehingga suku keempat tahun ini.

 

capital
Tan Sri Tony Fernandes

 

Mengenai Teleport usaha logistiknya, Capital A berkata ia menjangkakan kapasiti tambahan dengan penghantaran yang pertama daripada tiga kapal pengangkut khusus A321F baharu pada Jun. 

 

Ini adalah untuk terus memanfaatkan rangkaian yang hebat untuk menawarkan perkhidmatan logistik yang mudah diakses, berpatutan dan inklusif, dan menjadi peneraju pasaran di ASEAN.

 

"airasia Digital telah menerima kelulusan lembaga untuk dinamakan semula kepada MOVE, terdiri daripada airasia Superapp dan penyedia fintech BigPay untuk menyediakan aplikasi perjalanan yang paling mudah diakses, mampu milik dan inklusif, bertujuan untuk memenuhi keperluan semua pengembara, termasuk pengembara di darat dengan tawaran panggilan telefon pada naik airasia,” katanya.

 

BACA JUGA: Capital A lakukan semakan kewangan interim sebelum menghantar cadangan untuk keluar daripada status PN17

 

Mengulas mengenai prospek, Fernandes menyatakan bahawa Capital A akan terus memberi tumpuan kepada membina model perniagaan yang lebih berdaya tahan termasuk melaksanakan lembaga khusus yang berasingan untuk memacu kejayaan perniagaan terasnya.

 

Beliau juga kekal komited untuk kekal bersama Capital A pada masa hadapan.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa kami mempunyai perancangan terbaik melibatkan ramai pemimpin berpengalaman dalam pasukan pengurusan kami yang akan terus melaksanakan visi jangka panjang Capital A," katanya.

 

Capital A sebelum ini mengumumkan bahawa ia sedang menjalankan semakan kewangan interim sebagai sebahagian daripada penilaian pelan penyelarasan status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Kumpulan itu, yang jatuh ke dalam status PN17 pada 14 Januari 2022, mempunyai masa sehingga 7 Julai ini untuk mengemukakan cadangan pelan penyelarasannya untuk keluar daripada status itu.

 

Sementara itu, AirAsia X Berhad (AAX) juga sedang dalam penyediaan rancangan penetapan untuk keluar daripada status PN17. Tarikh akhir penyerahan AAX ialah 28 Julai.

 

Pada 9 Mei, AAX, yang jatuh ke dalam status PN17 pada 27 Okt 2021, telah diberikan lanjutan tiga bulan tambahan untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya. - DagangNews.com