KUALA LUMPUR 12 Jan - Capital A Berhad optimis mengenai potensi pertumbuhannya tahun ini didorong pemulihan kukuh dalam permintaan perjalanan selepas COVID-19 dan menjangka akan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan itu merancang untuk menyerahkan pelan penyusunan yang dimuktamadkan kepada Bursa Malaysia seawal Februari 2023.
“Kami boleh terkeluar daripada status PN17, sudah pasti tahun ini dan saya berharap lebih awal daripada itu. Semua perunding kini sedang menjalankan kerja mereka.
“Kami berharap untuk menyerahkan kepada Bursa antara Februari dan April 2023,” katanya selepas majlis penghargaan penghantar dan pemandu airasia Super App, hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Capital A berada dalam senarai PN17 Bursa Securities pada Januari 2022.
Kumpulan itu sebelum ini mengumumkan bahawa tidak ada sebarang rancangan penggabungan antara dua entiti syarikat penerbangannya, AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad (AAX) tetapi dua entiti berbeza akan dibentuk menerusi strategi untuk keluar daripada PN17.
Mengulas mengenai permintaan perjalanan, terutamanya dari China berikutan pembukaan semula sempadannya, Fernandes berkata, kumpulan itu menjangkakan pemulihan yang sangat kukuh untuk pasaran memandangkan permintaan luar biasa yang diterima daripada pelancong China.
“Kami belum mula menjual sepenuhnya tetapi kami telah memohon untuk 19 destinasi (berbanding kira-kira) 24 destinasi yang kami ada sebelum COVID-19.
“Permintaan itu ada. Jelas sekali, penerbangan sangat mahal untuk ke luar negara, jadi kami fikir ramai orang akan datang ke Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berharap, kerajaan tidak bertindak keterlaluan terhadap varian COVID-19 terkini kerana ia kurang berbahaya sama seperti tempat lain dan lonjakan kes di China akan berakhir tidak lama lagi.
Fernandes berkata, fokus utamanya pada masa ini ialah membolehkan semua pesawat terbang semula, dan menjangkakan ia akan setanding dengan tahap pra-COVID-19 menjelang Julai 2023 untuk semua pasaran dan bukan hanya China.
Beliau berkata, perniagaan syarikat penerbangan akan berjalan dengan 204 pesawat menjelang Mei 2023, berbanding 150 pesawat pada masa ini, dan tidak akan ada penghantaran baharu berlaku tahun ini, manakala 50 penghantaran baharu dijangka pada 2024.
“Orang ramai perlu faham bahawa ia mengambil sedikit masa untuk syarikat penerbangan untuk kembali, tetapi sedang berusaha. Kami sedang mendengar pendapat orang ramai dan saya rasa itu akan dapat diselesaikan. Untuk bayaran balik, saya rasa itu hampir semuanya diselesaikan.
“Semuanya kelihatan positif, tetapi masih banyak perkara yang perlu kita usahakan, seperti harga minyak yang masih sangat tinggi, dan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tetapi permintaan sangat kukuh, jadi saya percaya 2023 akan menjadi tahun penting untuk kami kembali ke tempat kami berada,” katanya. - DagangNews.com