CapitaLand Malaysia Trust catat kadar penghunian yang lebih baik - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

CapitaLand Malaysia Trust catat kadar penghunian yang lebih baik - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Walaupun pendapatan terkesan akibat perbelanjaan yang lebih tinggi namun portfolio CapitaLand Malaysia Trust kebanyakannya mencatatkan kadar penghunian yang lebih baik dari suku tahun ke suku tahun kecuali Sungei Wang Plaza.

 

RHB Investment berkata, kadar penghunian portfolio keseluruhan meningkat daripada 84.3% pada Disember 2022 kepada 85.6% pada Mac 2023.

 

Katanya, 26.5% daripada pajakan yang tamat tempoh pada 2023 telah diperbaharui pada separuh pertama dengan pengembalian sewa positif sebanyak 3.1%.

 

"Keadaan itu didorong oleh East Coast Mall dan Plaza Gurney manakala Plaza Sungei Wang dan 3 Damansara terus mengalami pengembalian sewa negatif (-2.7% dan -33.2 %) dan melaporkan kerugian pendapatan hartanah bersih (NPI) pada suku tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, nisbah penggearan berada pada 44% berikutan pemerolehan Queensbay Mall (QBM) pada harga RM990.5 juta.

 

Katanya, pengambilalihan QBM selesai pada 21 Mac dengan hanya RM227.85 juta dinaikkan daripada maksimum RM495.25 juta yang dicadangkan, menghasilkan nisbah penggearan tinggi.

 

"Berikutan pengambilalihan itu, CLMT mengiktiraf kerugian nilai saksama sebanyak RM8 juta akibat daripada kos sampingan yang lebih tinggi yang dipermodalkan berbanding penilaian bebas," katanya.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan FY23-25F sebanyak 2% hingga 5%

 

"CapitaLand berdepan pelbagai risiko termasuk prestasi runcit yang lebih kukuh atau lemah daripada jangkaan dan pengembalian sewa," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 56 sen sesaham lebih rendah berbanding 59 sen sebelum ini. - DagangNews.com