Carsome, Allianz Partner sedia waranti tambahan kepada pembeli kereta terpakai | DagangNews Skip to main content

Carsome, Allianz Partner sedia waranti tambahan kepada pembeli kereta terpakai

program waranti tambahan Carsome

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Program waranti tambahan bakal disediakan kepada pembeli kereta terpakai melalui kerjasama Carsome dengan Allianz Partners Malaysia.

Program waranti tambahan selama satu tahun itu merupakan ciri utama 'Cara Baru Membeli Kereta' yang dilancarkan oleh Carsome baru-baru ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, program jaminan yang diperkenalkan itu memberi nilai terbaik dan jaminan tambahan kepada pembeli.

"Menurut Tinjauan Pembelian Kereta Carsome (Carsome Car Purchase Preference Survey), 60% pembeli kereta menghargai waranti tambahan. 

"Program waranti ini bukan sahaja melibatkan jaminan, tetapi juga menyediakan kemudahan lain seperti khidmat pelanggan dan tuntutan 24 jam. Pelanggan juga mempunyai fleksibiliti dalam memilih bengkel servis di seluruh negara daripada senarai yang tersedia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Eric Cheng
Eric Cheng

 

Waranti berkenaan terdiri daripada dua pakej berbeza seperti berikut;

  • Carsome Gold Plan yang merangkumi perlindungan enjin, transmisi gear dan sistem penyaman udara.
  • Carsome Platinum Plan yang merangkumi perlindungan komponen tambahan seperti sistem bahan bakar, sistem stereng dan penyejukan selain Bantuan Kerosakan Tepi Jalan (Roadside Assistance) yang disediakan oleh Allianz Partners Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Partners Malaysia, David Fedarb berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dipilih oleh Carsome untuk program waranti tambahan bagi pelanggannya.

 

Carsome

 

"Kerjasama ini akan memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan Carsome semasa membuat keputusan untuk membeli kereta kerana mereka tahu bahawa kereta yang dibeli akan dilindungi. 

"Kami juga berharap untuk mengembangkan lagi kerjasama ini dan bersama-sama menyokong pelanggan Carsome. Kami amat yakin bahawa kerjasama ini akan merangsang kualiti pasaran jualan kereta terpakai pada masa yang akan datang," tambahnya.

Melalui kerjasama itu juga, satu pasukan daripada Allianz Partners Malaysia akan mengendalikan semua aspek operasi program.

Aspek berkenaan termasuk penyampaian sistem pemprosesan waranti kereta dalam talian serta talian khidmat pelanggan untuk mengendalikan pertanyaan mengenai liputan, maklumat program dan perkhidmatan pelanggan yang lengkap. - DagangNews.com