CelcomDigi menerusi altHR bekerjasama dengan PayrollPanda bantu proses pendigitalan sumber manusia perniagaan tempatan | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi menerusi altHR bekerjasama dengan PayrollPanda bantu proses pendigitalan sumber manusia perniagaan tempatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi aplikasi super sumber manusia, altHR bekerjasama dengan PayrollPanda bagi membantu lebih banyak perniagaan tempatan dalam proses pendigitalan bahagian sumber manusia mereka.

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua platform itu akan menyepadukan ciri-ciri berkaitan gaji seperti pemindahan data pekerja antara akaun altHR dan PayrollPanda.

 

Selain itu, penjanaan slip gaji automatik dihantar ke modul dokumen altHR dan modul penjejakan perbelanjaan yang membolehkan pengguna mengurus proses sumber manusia mereka dengan cara mudah dan cekap.

 

"Ia sesuai digunakan untuk semua saiz perniagaan dan ciri-ciri terbaharu itu menggantikan modul yang sebelum ini ditawarkan oleh altHR.

 

"Pelanggan yang ingin menggunakan ciri bersepadu ini dikehendaki mempunyai langganan berasingan kepada PayrollPanda," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CelcomDigi juga menawarkan pelan percuma altHR untuk syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang dalam proses mendigitalkan perniagaan mereka.

 

Katanya, pelan percuma altHR itu dilengkapi dengan 10 modul popular yang boleh membantu pengguna meningkatkan kecekapan sambil meningkatkan penglibatan pekerja.

 

"Modul yang disertakan dalam pelan percuma ini ialah cuti, perbelanjaan, penjejakan masa, pencantuman nama, dokumen, sorotan, daftar masuk, senarai semak, onboarding dan kalendar syarikat," katanya.

 

Pelanggan baharu juga boleh memilih untuk mencuba keseluruhan rangkaian ciri altHR bagi tempoh percubaan percuma selama 30 hari dengan semua modul disediakan.

 

Selepas percubaan percuma, modul yang tidak disertakan sebagai sebahagian daripada pelan percuma akan dikenakan bayaran sebanyak RM1/bulan bagi setiap kakitangan.- DagangNews.com