KUALA LUMPUR 12 Ogos - Syarikat automotif tempatan, Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) bersama rakan strategik dari Korea Selatan, Hanwha Aerospace telah menandatangani perjanjian untuk program naik taraf kenderaan tempur infantri MIFV K200 Tentera Darat.
Program usahasama ini melibatkan perkongsian teknologi bagi membangunkan prototaip MIFV K200 yang dinaik taraf untuk tujuan ujian dan penilaian.
Prototaip yang akan dibangunkan ini adalah mengikut spesifikasi yang diperlukan oleh Tentera Darat.
Kerja naik taraf pada kenderaan berperisai itu dijangka merangkumi optik terma siang/malam, stesen senjata kawalan jauh (RCWS) dan enjin yang lebih berkuasa.
Peningkatan akan dilakukan oleh pihak Cendana Auto yang berpangkalan di Putrajaya.
Pihak Cendana Auto semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur pada Mei lalu memaklumkan cadangan menaik taraf MIFV K200 untuk Tentera Darat.
Bagaimana pun, Kementerian Pertahanan (Mindef) belum mengeluarkan kontrak naik taraf memanjangkan jangka hayat (SLEP) kenderaan tersebut tetapi difahamkan perkara ini bakal diumumkan tidak lama lagi.
Tentera Darat mempunyai keperluan untuk menaik taraf kesemua kenderaan MIFV K200 buatan Korea Selatan yang dibeli secara berperingkat-peringkat pada tahun 1993 dan 1995.
Pembelian sebanyak 111 buah kenderaan tersebut ketika itu untuk menyokong operasi tentera pengaman Malaysia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa di Bosnia-Herzegovina.
Pembelian MIFV K200 juga membuka dimensi baharu Tentera Darat apabila buat pertama kalinya menggunakan kenderaan tempur infantri berunut.
Ia juga menggandakan kekuatan pasukan mekanise apabila kesemua kenderaan dibawa balik ke Malaysia selepas misi pengaman berakhir.
Kenderaan K200 MIFV seberat 13 tan dilengkapi dengan mesingan berat 12.7mm selain mempunyai lain-lain varian termasuk kembalik.
Sebahagian besar kenderaan MIFV K200 kini dioperasikan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize).
Selebihnya pula digunakan Skuadron Armor 10 Briged Para.
Justeru, kerjasama antara Cendana Auto dan Hanwha ini dilihat sebagai usaha positif untuk membangunkan industri pertahanan tempatan dalam bidang ’Maintenance, Repair & Overhaul’ (MRO) kenderaan perisai
Selain itu ia juga menjadikan Malaysia antara hub bagi MRO serantau dalam sektor automotif.
Usahasama ini berupaya untuk menyumbang dalam pembangunan industri pertahanan di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Ini berupaya melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir serta menimba ilmu dan kepakaran dalam bidang teknologi pertahanan, kejuruteraan automotif dan pembangunan teknologi.
Selain MIFV K200, Tentera Darat juga mempunyai keperluan untuk menaik taraf kenderaan perisai ACV300 Adnan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 200 buah.
Dua syarikat yang mengintai peluang ini ialah DRB-HICOM Defense Technologies (DEFTECH) dan Mildef International Technologies (Mildef). - DagangNews.com