CGB masih berbincang dengan Huobi Mall bagi pembinaan pusat data | DagangNews Skip to main content

CGB masih berbincang dengan Huobi Mall bagi pembinaan pusat data

Sumber gambar : Coindesk

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Syarikat pembuatan pita pelekat, Central Global Berhad (CGB) mendakwa berita yang dikeluarkan di China berhubung kerjasama kumpulan dengan Huobi Mall untuk membangunkan pusat pengumpulan pangkalan data global di Malaysia adalah tidak tepat. 

 

Tampil menafikan laporan berkenaan, Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Faisal Zelman mendedahkan bahawa sememangnya terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak, namun tiada perjanjian yang telah ditandatangani berhubung projek tersebut. 

 

“Kami memang sedang berbincang dengan Huobi Mall berhubung kemungkinan kerjasama dalam pembinaan pusat pengumpulan pangkalan data di Malaysia. 

 

Faisal Zelman
Faisal Zelman

 

“Namun, kami masih lagi menilai daya maju projek berkenaan dan belum menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) atau apa-apa bentuk perjanjian pun dengan Huobi Mall berkaitan perkara ini. 

 

“Kami akan mengeluarkan pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan signifikan berhubung perkara ini,” jelas Faisal dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, media di China melaporkan bahawa Huobi Mall yang merupakan sebuah platform dagangan dalam talian, khususnya melibatkan penjualan mesin perlombongan kripto telah mengumumkan kerjasama dengan anak syarikat CGB, CIC Construction Sdn. Bhd. bagi pembangunan pusat data berkenaan. 

 

Kedua-duanya dilaporkan telah bersetuju untuk bekerjasama dan melabur bagi pembangunan 500 megawatt pusat data yang didakwa berlokasi di Sarawak.

 

Kerjasama itu dikatakan bakal meningkatkan prestasi dan skop Huobi Mall sebagai sebuah syarikat yang menumpukan ke arah data raya selain pembuatan bekalan sistem simpanan data.

 

Menerusi projek berkenaan, Huobi Mall dilaporkan berhasrat untuk meningkatkan permodalan pasarannya dan penguasaan pasaran pada kadar peratusan yang agak besar, sekali gus akan meningkatkan ekuiti pemegang sahamnya. 

 

Pembangunan pusat pangkalan data itu didakwa bakal dilaksanakan menerusi tiga fasa yang dijangka siap selepas tempoh 12 bulan. 

 

Fasa pertama dilaporkan bagi pembinaan 100 megawatt pusat data, diikuti oleh 150 megawatt dan seterusnya 250 megawatt. 

 

Sebagai rekod, Huobi Mall yang merupakan anak syarikat Kumpulan Huobi itu dibangunkan khusus untuk membina mesin perlombongan data baharu dan sistem perdagangan yang meningkatkan standard perkhidmatan ekosistem blok rantai. - DagangNews.com