CGS-CIMB : Isu COVID-19, varian Delta masih membimbangkan pelabur  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Isu COVID-19, varian Delta masih membimbangkan pelabur 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kes jangkitan COVID-19 yang masih kekal tinggi dan penularan varian Delta, merupakan antara kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi negara pada separuh kedua ini. 

 

Perkara itu disimpulkan oleh pasukan penganalisis CGS-CIMB selepas mereka mengadakan mesyuarat mengenai prospek ekonomi dan strategi bagi separuh kedua 2021 dengan 220 pelabur minggu lalu. 

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksin lengkap dan pembukaan ekonomi secara berperingkat menandakan jalan ke arah pemulihan sekali gus mengurangkan kesan akibat pandemik COVID-19.

 

"Wabak COVID-19 kekal menjadi punca utama yang menjejaskan prospek ekonomi dan juga kebimbangan ruang fiskal serta penentuan dasar yang menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin lebih rendah seperti diunjurkan kami iaitu 3.9% pada 2021 dan 4.7% pada 2022.

 

"Para pelabur juga ingin mengetahui di mana sumber kerajaan akan disalurkan di bawah Pelan Pemulihan Negara dan sumber kepada kewangan ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap 2 dos vaksin COVID-19, antaranya kebenaran dine-in dan aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri di bawah fasa kedua dan ketiga Pelan Pemulihan Negara.

 

Kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

 

CGS-CIMB berkata, tiada sebarang penekanan utama diberikan terhadap prospek suku ketiga ini ekoran prestasi yang lemah diikuti dengan kenaikan semula pada suku keempat apabila ekonomi dibuka semula. 

 

"Sebahagian pelabur bimbang pemulihan ekonomi akan lebih perlahan sehingga tahun hadapan disebabkan kemunculan varian Delta, yang menyebabkan kes jangkitan masih tinggi. 

 

"Tetapi, ada juga dalam kalangan mereka mengutarakan kekhuatiran melihat kes yang tinggi  di sebalik kadar vaksinasi penduduk dewasa merangkumi 51.5% di Lembah Klang setakat 9 Ogos lalu," tambahnya.

 

Firma itu bagaimanapun percaya, ia akan mengambil masa seminggu hingga lebih 2 minggu sebelum jangkitan ini berkurangan atau kadar penghospitalan dan kematian menjadi lebih ketara. 

 

Ini kerana 28% daripada jumlah vaksin yang diberikan sehingga 9 Ogos selesai dalam tempoh 2 minggu pada tarikh berkenaan. 

 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kebiasaannya ia mengambil masa 2 minggu selepas divaksinkan supaya tubuh badan dapat membina imuniti. 

 

Pada masa sama, CGS-CIMB juga mendapati terdapat risiko pendapatan bagi sektor REIT, pembuatan, perjudian, pengguna dan pelancongan bagi prestasi kewangan suku kedua ini disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

"Selain itu, dari segi isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mungkin terdapat perkembangan untuk mneyelsaikan isu buruh paksa pada separuh pertama 2022. 

 

"Dari segi isu politik pula, mata kini tertumpu kepada UMNO dan jawatan perdana menteri, yang merancang untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen kembali bersidang September ini," katanya. - DagangNews.com