CGS-CIMB jangka InNature catat pendapatan kukuh pada 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka InNature catat pendapatan kukuh pada 4QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan InNature Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh pada 4QFY22 kerana ia merupakan suku tahun yang paling kukuh buat kumpulan itu. 

 

Firma itu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan musim perayaan (Hari Krismas) serta jualan promosi cuti akhir tahun.

 

Katanya, ia juga didorong kenaikan harga jualan, pelancaran produk baharu, jumlah kedai yang banyak selain kumpulan itu menyasarkan pembukaan tiga kedai baharu pada 4QFY22 di kawasan baharu dengan kehadiran pelanggan yang tinggi.

 

"Bagaimanapun, kuasa membeli pengguna yang semakin lemah kesan daripada inflasi dan kadar faedah tinggi boleh memberikan kesan kepada unjuran kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras kumpulan bagi 3QFY22 mencapai RM4.4 juta dan ia menjadikan untung teras bersih 9MFY22 kepada RM14.5 juta. 

 

Dari tahun ke tahun, kumpulan itu melihat jualan yang kukuh bagi 3QFY22 Malaysia (+50.8%), Vietnam (+110.0%) dan Kemboja (+13.5%) didorong kenaikan harga jualan daripada pelancaran produk baharu serta waktu operasi yang lebih panjang.

 

Firma itu berkata, hasil 3QFY22 susut 10.9% disebabkan permintaan yang lebih rendah mengikut musim selain margin untung kasar suku itu merosot kepada 65.1%, mungkin disebabkan oleh campuran jualan yang kurang menggalakkan.

 

Katanya, pada suku tersebut, kumpulan itu menutup tiga kedainya di Malaysia yang kebanyakannya terletak di pinggir bandar, menjadikan bilangan kedai kepada 113 pada akhir 3QFY22.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu 55 sen sesaham. - DagangNews.com