CGS-CIMB jangka pertumbuhan pinjaman bank melebihi 5% pada separuh kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka pertumbuhan pinjaman bank melebihi 5% pada separuh kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan pemulihan yang lebih baik untuk pertumbuhan pinjaman bank melebihi 5% dari tahun ke tahun pada separuh kedua 2023 berbanding purata lebih rendah pada Mac 2023.

 

Untuk jangka panjang, firma itu berkata, sektor itu akan berdepan beberapa risiko termasuk penurunan pinjaman di bawah paras 5% memandangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih lemah sebanyak 4.4% pada tahun ini berbanding 8.7% pada 2022.

 

"Kami bagaimanapun mengunjurkan pertumbuhan pinjaman bank antara 4% hingga 5% pada 2023, lebih rendah berbanding 5.7% pada 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman industri perbankan berkurangan daripada 5.2% pada akhir Februari 2023 kepada 5% pada akhir Mac 2023 yang sebahagian besarnya adalah selaras dengan jangkaan kami.

 

Katanya, kelembapan adalah daripada segmen pinjaman isi rumah yang berkembang sebanyak 5.4% pada akhir Mac 2023 berbanding 5.7% pada akhir Februari 2023.

 

"Sementara itu, momentum untuk pinjaman perniagaan kekal pada 2.4% pada akhir Februari dan Mac 2023," katanya.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan pasaran terhadap potensi kemerosotan dalam kualiti aset berikutan risiko kredit tambahan daripada kelembapan ekonomi, pinjaman terjejas kasar (GIL) bank menguncup sebanyak RM162.5 juta atau 0.5% pada Mac 2023, lebih baik daripada jangkaan rumah untuk aliran meningkat berterusan dalam GIL.

 

“Walaupun ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh kemungkinan hapus kira GIL oleh bank tertentu, penurunan dalam jumlah GIL bank menunjukkan tiada peningkatan ketara dalam GIL baharu bank.

 

"Nisbah GIL turun daripada 1.76% pada akhir Februari 2023 kepada 1.75% pada akhir Mac 2023, tetapi meningkat sebanyak 3bp pada suku pertama tahun ini. 

 

"Kami menjangkakan nisbah GIL bank meningkat kepada 2% menjelang akhir Disember 2023,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor berkenaan. - DagangNews.com