CGS-CIMB kekal unjuran TIV 2021 di sebalik lanjutan PKP | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB kekal unjuran TIV 2021 di sebalik lanjutan PKP

 

 


KUALA LUMPUR 14 Jun - CGS-CIMB mengekalkan unjuran jualan keseluruhan industri (TIV) bagi 2021 pada 580,000 unit di sebalik keputusan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh hingga 28 Jun ini.

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, sektor automotif akan terus mendapat manfaat daripada pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan hingga 31 Disember ini seperti diumumkan di bawah pakej Pemerkasa Plus. 

 

Selain itu, katanya, model popular seperti Perodua Ativa dan Proton X50 akan menjadi antara faktor yang memacu jualan pada separuh kedua 2021.

 

"Dengan menganggap tiada kenderaan dihantar pada bulan ini, sasaran kami (580,000) adalah berdasarkan purata 57,000 TIV sebulan mulai Julai hingga Disember 2021. 

 

"Ini masih 3% lebih rendah berbanding purata 59,000 sebulan seperti direkodkan antara Julai hingga Disember tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sumber : CGS CIMB

 

Firma itu, bagaimanapun, masih berpendapat, unjuran tersebut boleh dicapai dengan menjangkakan PKP penuh tidak akan dilanjutkan lagi.

 

"Tetapi jika dilanjutkan, kami menyaksikan penurunan 10% kepada unjuran 2021 kami," tambahnya.

 

Mohd. Shanaz berkata, semakan semula Dasar Automotif Negara pada separuh kedua ini akan menyediakan hala tuju yang lebih jelas mengenai strategi kenderaan elektrik (EV) Malaysia.

 

Di samping itu, kerajaan turut menerbitkan draf Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
 

"Kami masih menganggarkan pendapatan bagi sektor automotif akan meningkat 34% bagi tahun ini setelah menyusut 20% pada 2020," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan neutral ke atas sektor automotif dengan pilihan saham Sime Darby, UMW Holdings dan Bermaz.

 

Keuntungan bersih sektor automotif Malaysia meningkat 86% tahun ke tahun bagi suku pertama 2021 dipacu pendapatan penghantaran yang kukuh dari Sime Darby, UMW Holdings dan Tan Chong serta disokong jumlah jualan yang tinggi di Malaysia dan China.

 

Pada April, TIV susut 10.6% disebabkan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri dan kekurangan bekalan cip semikonduktor.

 

Bagaimanapun, TIV bagi tempoh 4 bulan ini berkembang 89% tahun ke tahun dengan pengecualian cukai jualan kenderaan dan jualan yang rendah pada Mac hingga April 2020 (PKP 1.0).

 

Persatuan Automotif Malaysia menjangkakan jualan pada Mei lebih rendah ekoran pelaksanaan PKP 3.0, bekalan cip semikonduktor yang masih kurang dalam pasaran dan tempoh bulan bekerja yang pendek setelah cuti panjang Hari Raya. - DagangNews.com