CGS-CIMB : Penutupan kilang MSM Prai tetap negatif | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Penutupan kilang MSM Prai tetap negatif

 


 

KUALA LUMPUR 17 Jun - CGS-CIMB masih mengekalkan pandangan negatifnya penutupan kilang MSM Prai Berhad (MSM Prai) tetap akan memberi kesan kepada pengeluaran dan pendapatan syarikat. 

 

Ini kerana menurutnya, meskipun hanya ditutup lapan hari, tetapi MSM masih memerlukan tempoh masa untuk meningkatkan operasi penapisan ke tahap optimum. 

 

Jelas firma itu, kilang Prai adalah operasi paling efisien dan menguntungkan dalam portfolio kumpulan dan ini akan memberi kesan yang cukup ketara.

 

"Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan bekalan kepada pelanggan yang akan mengambil masa antara 13 hingga 15 hari.

 

"Dengan mengandaikan ia memerlukan tambahan tujuh hari membolehkan operasi pengeluaran kembali normal, penangguhan sementara ini menyebabkan kerugian pengeluaran hingga 3% dan boleh meningkat 5.8% impaknya terhadap pendapatan terutama untung bersih bagi tahun kewangan 2021," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

MSM Prai kembali beroperasi 15 Jun, lebih awal berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan setelah ditutup sementara pada 8 Jun lalu akibat kes positif COVID-19.

 

Anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad ini sepatutnya dibenarkan beroperasi pada 17 Jun dengan mematuhi prosedur operasi standard serta panduan seperti yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi sektor industri. 

 

Sebelum ini, kesemua 765 petugas di premis tersebut termasuk pekerja kontrak di mana lebih 92 peratus daripadanya adalah warganegara Malaysia telah melalui ujian sariangan selama dua hari sebagai langkah pencegahan proaktif. 

 

Semua 8 petugas yang disahkan positif telah dikuarantinkan serta-merta disusuli dengan penjejakan kontak untuk
ujian lanjut. 

 

Berdasarkan analisis CGS-CIMB, saham MSM telah menyusut sebanyak 25.6% dalam tempoh 2 bulan bermula dengan penutupan kilang MSM di Johor pada 8 April hingga 8 Jun (penutupan MSM Prai) diikuti lagi 1.5% selepas itu.

 

"Ini secara tidak langsung menunjukkan pasaran telah mengambil kira sebahagian harga dalam risiko pendapatan ekoran penutupan kedua-dua kilang berkenaan," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM1.41 bagi saham MSM. - DagangNews.com