CGS-CIMB Research kekal 'neutral' terhadap sektor pengguna | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research kekal 'neutral' terhadap sektor pengguna

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pengguna dengan menjangkakan kehadiran pelancong dan pembukaan semula ekonomi China akan memberi kesan positif kepada sektor itu.

 

Firma itu berkata, impak positif itu bagaimanapun akan diimbangi oleh peningkatan kos operasi (disebabkan oleh kenaikan gaji minimum, kekurangan tenaga kerja, penyambungan semula pemacu pengembangan yang agresif dan peningkatan kos berkaitan ESG) serta kuasa perbelanjaan pengguna yang lemah.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya penilaian keseluruhan sektor semasa sebahagian besarnya mempengaruhi sentimen pengguna dan prospek pendapatan yang lemah.

 

"Pada masa sama sektor itu berdepan dengan beberapa risiko termasuk kehadiran pelancong yang lebih lemah daripada jangkaan dan kenaikan luar biasa kos input," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

China baru-baru ini mengumumkan pelonggaran peraturan COVID-19 mulai Januari 2023 termasuk menggugurkan syarat kuarantin untuk ketibaan antarabangsa dan menyambung semula perjalanan keluar untuk warganya.

 

Firma itu menjangkakan, perkara itu akan membawa kepada kemasukan pelancong China ke seluruh dunia, termasuk ke Malaysia, manakala China sendiri akan menyaksikan peningkatan yang lebih tinggi di pusat membeli-belah berikutan kelonggaran langkah penutupan dan ketibaan pelancong asing.

 

"Namun begitu, kami percaya pembukaan semula sempadan China adalah positif untuk permintaan barangan pengguna dalam jangka panjang," katanya.

 

Firma itu berkata, QL, Power Root dan Kawan Food merupakan antara penerima manfaat daripada pembukaan sempadan China dan ekonomi memandangkan pendedahan mereka kepada pasaran domestik China.

 

Katanya, China menyumbang 5% daripada jualan sebelum COVID-19 (FY3/20) QL daripada segmen utama pembuatan produk marin dan 1.4% daripada jumlah jualan FY19 manakala jualan QL ke China adalah minimum pada masa ini disebabkan oleh langkah-langkah penutupan.

 

"Bagi Kawan, sumbangan daripada operasi China merangkumi 7.6% daripada jumlah jualannya pada 2019 (ia mempunyai kilang di Nantong, China), tetapi susut kepada 2.4% daripada jumlah jualan 9MFY22, disebabkan permintaan tempatan yang lebih perlahan (jualan HORECA yang lemah).

 

"Untuk Power Root, barangan pracampuran yang dieksport ke China mengikut sejarah membentuk c.5-6% daripada jumlah jualan tahunan sebelum COVID-19," katanya. - Dagangews.com