CGS-CIMB Research unjur Dialog Group catat peningkatan keuntungan bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research unjur Dialog Group catat peningkatan keuntungan bagi FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - CGS-CIMB Research mengunjurkan tahun kewangan 2023 untuk Dialog Group Berhad lebih cerah berdasarkan beberapa pertimbangan baharu yang menunjukkan unjuran menaik.

 

Firma itu berkata, penyelenggaraan medan minyak kumpulan itu telah siap pada suku sebelum ini dan pengeluaran kembali normal, membawa kepada peningkatan  keuntungan suku tahunan daripada medan Bayan dan D35 pada 2QFY23.

 

Dialog juga sedang giat mengejar kadar yang lebih tinggi untuk perkhidmatan penyelenggaraan lojinya yang diperoleh di bawah kontrak perkhidmatan induk lima tahun dengan Petronas berkuat kuasa 1 Julai 2019.

 

"Margin keuntungannya terkesan akibat inflasi global pasca COVID-19 serta kekurangan tenaga kerja dan Dialog yakin dapat memperoleh kadar yang lebih tinggi untuk baki satu setengah tahun kontraknya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Dialog mendedahkan kadar simpanan tangki terminal bebasnya meningkat kepada S$6/CBM sebulan pada akhir September 2022 manakala kadar penggunaan meningkat kepada hampir 90%.

 

Dialog menjangkakan ia kekal stabil untuk beberapa bulan akan datang.

 

Firma itu berkata, ia masih belum mengambil kira potensi pampasan daripada pelanggan berikutan penyiapan projek  kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang merugikan.

 

Selepas menyemak semua data, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM2.60.

 

"Kami berpendapat Dialog mempunyai potensi untuk mengatasi unjuran untung bersih teras FY23 semasa kami, yang dikurangkan sebanyak 5.7% dalam nota kajian sebelum ini.

 

"Pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk keuntungan suku tahunan yang lebih kukuh. Risiko penurunan termasuk kegagalan untuk menerima kadar yang lebih tinggi atau pampasan untuk lebihan kos," katanya. - DagangNews.com