CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Petronas Chemicals  | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB saran ‘kurangkan’ saham Petronas Chemicals 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘kurangkan’ (reduce) saham Kumpulan Petronas Chemicals  Berhad (PCG) dengan harga sasaran kepada RM5.60.

“Kami percaya PCG diniagakan dengan nilai perolehan (EV) atau nisbah harga perolehan (P/E), perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan nisbah harga kepada buku (P/B) yang tinggi berganda berbanding perolehan konsensus Bloomberg dan unjuran pulangan ekuiti (ROE),” jelas CGS-CIMB hari ini. 

Harga saham PCG kini menurun bawah 20% berbanding paras RM7.35 pada awal tahun 2020 sebelum meningkat dengan ketara daripada RM4.11 pada 19 Mac lalu, berikutan penularan COVID-19 dan kemerosotan harga minyak.

“Kami menjangkakan ROE bagi PCG untuk tahun kewangan 2020/2022 berada dalam lingkungan 5.2% hingga 7.3%, lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu 9.4%.

“Bagaimanapun, saranan ‘kurangkan’ mungkin berubah sekiranya harga minyak mentah dan nafta meningkat lebih pantas daripada jangkaan,” tambah CGS-CIMB Research. 

Harga minyak Brent dijangka mencecah paras AS$41 setiap tong tahun ini.

Harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pengeluaran nafta dan seterusnya meningkatkan harga jualan produk petrokimia, walaupun peningkatan kos nafta perlahan.

“Kelewatan operasi loji petrokimia baharu di peringkat global atau proses peningkatan pengeluaran selepas beroperasi bakal menangguhkan kemasukan kapasiti dan pasaran petrokimia akan mengecil,” kata CGS-CIMB.

Dalam pada itu, penangguhan operasi loji petrokimia di Pengerang, Johor akan memberikan perolehan positif kepada PCG memandangkan loji berkenaan dijangka mencatatkan kerugian pada tahun pertama operasi.

IHS melaporkan, operasi loji di Pengerang secara tidak rasmi telah ditangguhkan pada awal 2021 daripada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com