CGS-CIMB ubah saranan saham LCT kepada ‘tambah’ | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB ubah saranan saham LCT kepada ‘tambah’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - CGS-CIMB Research menyemak semula saranan ‘kurangkan’ saham Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) kepada ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi, RM2.86. 

 

Saranan itu dibuat di sebalik prospek harga petrokimia yang dijangka terus mengukuh dan secara tidak langsung menawarkan potensi keuntungan kepada kumpulan syarikat itu.

 

Antara faktor yang menyumbang kepada pengubahsuaian saranan itu adalah pengeluaran petrokimia Teluk Amerika Syarikat (AS) yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya daripada ribut salji Uri, harga jualan petrokimia yang lebih tinggi telah melebihi peningkatan kos nafta setakat ini, faktor jangka pendek lain mungkin memperketat bekalan petrokimia dan peningkatan kapasiti petrokimia pada tahun 2021 mungkin disekat oleh pelbagai masalah. 

 

“LCT merupakan pengeluar petrokima berdasarkan suapan stok nafta, oleh itu keuntungannya secara langsung berhubung kait dengan penyebaran antara harga jualan petrokimia dan harga suapan stok nafta. Ketika harga jualan petrokimia meningkat sejak pertengahan 2020 lalu, begitu juga harga nafta. 

 

“Kami tidak lagi dapat memberikan alasan bagi penarafan ‘kurangkan’ ke atas LCT, memandangkan kebimbangan kami terhadap potensi penurunan harga jualan petrokimia bermula suku kedua 2021 (2Q21) tiada lagi. 

 

“Ini kerana walaupun terdapat banyak penambahan kapasiti loji di China dan di tempat lain, kadar operasi kilang di AS, Timur Tengah dan di tempat lain telah direncatkan oleh isu-isu berkaitan cuaca, yang mengakibatkan penurunan bekalan sedia ada berbanding dengan kekuatan permintaan yang berterusan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Baca : Harga petrokimia dijangka susut bermula April 2021

 

Sebelum ini, CGS-CIMB mengambil kira prospek petrokimia yang lebih meluas dalam menghasilkan saranan ‘kurangkan’ saham LCT.

 

Dalam pada itu, unjuran TP semasa dikira berpatutan bagi CGS-CIMB, setelah mengambil kira prospek meningkat dalam pasaran petrokimia bagi tahun ini, walaupun diimbangi oleh harga nafta yang mungkin menggoyahkan sentimen pelabur. 

 

“Kami juga menekankan para pelabur bahawa secara umumnya, agak mencabar untuk meramalkan penyebaran (dari aspek kewangan) LCT memandangkan terdapat dua bahagian tidak menentu yang bergerak. 

 

“Bagaimanapun, bacaan kami ke atas pasaran itu ketika ini adalah momentum harga petrokimia mengukuh dan dari segi keseimbangan kebarangkalian, harus meningkat lebih tinggi daripada kenaikan harga nafta, oleh itu, berpotensi mendorong penyebaran lebih tinggi untuk LCT bagi 2021,” tambah CGS-CIMB.

 

Pengukuhan harga petrokimia selepas ribut salji Uri menyebabkan sebahagian besar kilang di Teluk AS terpaksa ditutup.

 

Melihatkan harga saham LCT kini di bawah daripada TP yang diunjurkan oleh CGS-CIMB sebelum ini, firma penyelidikan itu mengambil kesempatan situasi berkenaan untuk mengubah saranan ‘kurangkan’ kepada ‘tambah’. 

 

CGS-CIMB percaya harga petrokimia akan melonjak dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan pembeli dari AS ‘menjelajahi’ seluruh dunia untuk mendapatkan bekalan polimer. 

 

Ini seterusnya mengetatkan keseimbangan permintaan-bekalan di mana sahaja dan menyebabkan tahap inventori yang sedia rendah di seluruh dunia semakin menurun, kata firma penyelidikan itu lagi.

 

Setakat 11.24 pagi, nilai saham LCT melonjak sebanyak 8 sen daripada RM2.21 kepada RM2.29. - DagangNews.com