KUALA LUMPUR 25 April - CGS-CIMB Research menjangkakan indeks harga pengguna (CPI) akan berada pada paras 3% pada pertengahan 2023.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan CPI pada April 2023 akan stabil kesan daripada skim kawalan harga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diteruskan sehingga 30 April 2023 selaras dengan inisiatif berterusan Payung Rahmah.
Katanya, dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan, kerajaan bercadang untuk mengapungkan harga ayam dan telur pada Jun 2023 dan ia dijangka memberi tekanan kepada harga bahan mentah.
"Kerajaan juga berhasrat untuk mengurangkan bebanan subsidi dengan tarif bekalan elektrik untuk pengguna domestik (kediaman) akan meningkat pada Jualai 2023.
"Kami menganggarkan bahawa pelarasan tarif elektrik boleh meningkatkan CPI sebanyak 20 hingga 60bp pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, setakat ini, indeks harga pengeluar (PPI) terkini untuk 23 Februari 2023 menyusut kepada -0.8% (23 Jan: 1.3%), penguncupan pertama sejak Januari 2021.
Katanya, insentif untuk pengeluar menyalurkan kos mereka kepada pengguna kelihatan minimum pada ketika ini.
"Ini juga bermakna kerajaan boleh memberi tumpuan kepada dasar untuk membetulkan harga dalam pasaran, terutamanya kepada subsidi bersasar seperti tarif elektrik dan diesel.
"Secara keseluruhan, kami mengekalkan unjuran inflasi 2023 kami pada 3% dengan risiko peningkatan, terutamanya jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sebarang pelarasan subsidi yang disasarkan dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com