CGS-CIMB unjur untung teras bersih sektor bank berkembang 20.8% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur untung teras bersih sektor bank berkembang 20.8% pada 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - CGS-CIMB Research mengunjurkan untung teras bersih sektor bank berkembang pada kadar 20.8% pada CY23 disebabkan Cukai Makmur tidak berulang.

 

Firma itu juga menjangkakan perkembangan sebanyak 10.3% bagi pendapatan faedah bersih dan 7.2% dalam pendapatan bukan faedah.

 

Katanya, sektor mengalami pemulihan yang kukuh dalam pertumbuhan keuntungan bersih teras sektor daripada 1.9% dari tahun ke tahun pada 2QFY22 kepada 9.2% pada 3QFY22.

 

Pemangkin pendapatan pada 3QFY22 ialah peningkatan 12.4% dalam pendapatan faedah bersih dan pengembangan dalam margin faedah bersih berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)

 

Katanya, ia juga disokong 16% kenaikan dalam pendapatan bukan faedah (terutamanya disebabkan oleh pendapatan insurans bersih yang lebih tinggi untuk Maybank), dan penurunan  dalam peruntukan kerugian pinjaman sebanyak 19.6%.

 

"Sebelum ini, kami bimbang terhadap pertumbuhan pendapatan bank yang jatuh pada 2022 disebabkan oleh cukai Cukai Makmur yang akan mengurangkan keuntungan bersih CY22 bank sebanyak c.8%.

 

"Berdasarkan prestasi kewangan 3QFY22 dan jangkaan pertumbuhan untung teras bersih pada 4QFY22, kami percaya bahawa unjuran pertumbuhan kami sebanyak 2.8% untuk bank dalam CY22 akan dapat dicapai.

 

"Pemacu utama ialah peningkatan 8.2% dalam pendapatan faedah bersih (ditingkatkan oleh kenaikan OPR) dan penurunan 13.6% dalam peruntukan kerugian pinjaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menganggarkan keuntungan teras bersih vagi 4QFY22 akan menurun sebanyak 1.4% antara RM7.2 bilion hingga RM7.4 bilion.

 

Ia disebabkan oleh peningkatan dalam kos dana daripada kenaikan harga semula deposit tetap dan peningkatan dalam persaingan deposit dan kenaikan 3% kos operasi 4QFY22 kesan tekanan inflasi serta kenaikan gaji untuk kakitangan kesatuan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu disokong oleh perkembangan untung teras bersih yang kukuh pada CY23. - DagangNews.com