CGS Malaysia kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

CGS Malaysia kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek sektor teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - CGS International Securities Malaysia kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek sektor teknologi kesan daripada pendapatan yang kurang memberangsangkan daripada sektor itu.

 

Katanya, untung bersih teras agregat syarikat semikonduktor Malaysia di bawah liputannya susut 11% dari tahun ke tahun kepada RM266 juta pada suku berakhir Disember 2023, dengan empat daripada tujuh syarikat melepasi jangkaannya.

 

"Syarikat yang menunjukkan prestasi lebih baik adalah yang menerima pendedahan kepada rantaian bekalan telefon bimbit dan kenderaan elektrik (EV) dari China dan industri khusus seperti sektor perubatan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat-syarikat yang tidak terlibat dengan telefon bimbit China terus menyaksikan permintaan yang lemah manakala automotif juga menjadi lemah disebabkan penarikan balik pemrintaan EV.

 

Katanya, syarikat teknologi berkemungkinan mengalami penyusutan permintaan berurutan menjelang separuh pertama 2024, kerana kelemahan dalam segmen automotif dan perindustrian, diburukkan lagi oleh faktor kelemahan bermusim daripada segmen telefon pintar.

 

Dengan keterlihatan buku pesanan jangka pendek kekal tidak jelas, ia mendedahkan bahawa syarikat teknologi secara amnya percaya bahawa peningkatan pesanan mungkin berlaku dari bahagian akhir suku kedua 2024 dan seterusnya.

 

"Sementara itu, syarikat yang mempunyai pendedahan hasil yang tinggi dalam segmen mudah alih, seperti Unisem (M) Bhd dan Inari Amertron Bhd, mempelbagaikan saluran pertumbuhan baharu seperti automotif dan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi meluaskan pendedahan sektor mereka," katanya.

 

Selain itu, purata inventori yang meningkat pada suku Disember 2023 untuk syarikat di bawah firma penyelidikan itu, mungkin menandakan lebihan bekalan yang berpanjangan dan permintaan lemah merentas industri akhir utama.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underwight' untuk sektor itu disebabkan penilaian tinggi untuk industri itu dan mengekalkan saranan 'jual' untuk Unisem dan Malaysian Pacific Industries Bhd kerana pendapatannya yang lemah.

 

"Pilihan utama kami ialah Genetec Technology Bhd, berdasarkan keterlihatan buku pesanan yang baik dan penilaian yang sesuai," katanya. - DagangNews.com