CGS Malaysia mulakan liputan ke atas Econpile dengan saranan 'tambah', TP 61 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

CGS Malaysia mulakan liputan ke atas Econpile dengan saranan 'tambah', TP 61 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - CGS International Securities Malaysia memulakan liputan ke atas Econpile Holdings Bhd dengan saranan ‘tambah’ pada harga sasaran (TP) 61 sen berdasarkan nisbah harga/pendapatan-kepada-pertumbuhan (PEG) 2024 yang rendah sebanyak 0.5 kali ganda.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa projek infrastruktur mega dan pembangunan semula bandar yang akan datang memerlukan kontraktor cerucuk berpengalaman dengan Econpile merupakan antara syarikat yang memiliki kelebihan.

 

Katanya, pelancaran projek mega seperti transit aliran massa 3 (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) pada separuh kedua 2024 dan 2025 selain kejayaan projek Sungai Klang Link akan memacu buku tempahan dan memberikan skala ekonomi yang lebih baik kepada kumpulan itu.

 

"Econpile berjaya meraih RM309 juta kemenangan pesanan baharu dan kami menjangkakan kumpulan itu akan meraih kontrak baharu bernilai RM700 juta setiap tahun sepanjang FY24 hingga FY26 disokong buku tender RM1 bilion.

 

"Kami menjangkakan permintaan bagi perkhidmatan kontraktor cerucuk berkualiti mengatasi bekalan kapisiti pemain industri tempatan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

CGS International berkata, Econpile kekal sebagai proksi infrastruktur yang kurang dihargai dengan Bloomberg memberi penarafan pegang dan jual berdasarkan prospek kumpulan itu pada masa akan datang. 

 

Katanya, pasaran memandang rendah prospek kumpulan itu kerana tidak sedar tentang kelebihan mereka beroperasi dalam pasaran pemasangan cerucuk yang kurang sesak selain kelebihan mereka mendapatkan projek baharu dan pengembangan margin daripada projek kerajaan dengan margin tinggi.

 

"Pelancaran projek infrastruktur mega dilihat sebagai pemangkin penarafan baharu," katanya.

 

Firma itu berkata, kelonggaran 100% keperluan kelulusan jualan en-blok bagi pemegang hak milik strata sedia ada akan merangsang aktiviti pembinaan di kawasan bandar, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah mengenal pasti 139 tapak berpotensi diterjemahkan kepada peluang kerja-kerja cerucuk RM10 bilion.

 

"Kekurangan tanah utama di sekitar KLCC, di mana bangunan lama terletak pada nisbah plot yang rendah, mewakili peluang untuk kontraktor cerucuk seperti Econpile, memandangkan rekod prestasi mereka dalam menyediakan kerja-kerja cerucuk dan asas di kawasan berkepadatan tinggi," katanya. - DagangNews.com