Cheetah Holdings lancarkan koleksi Spy X Family di Nihon Matsuri 2024 | DagangNews Skip to main content

Cheetah Holdings lancarkan koleksi Spy X Family di Nihon Matsuri 2024

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - Cheetah Holdings Bhd hari ini melancarkan koleksi Cheetah Spy X Family sempena pameran Nihon Matsuri 2024 yang memberikan peminat peluang menarik untuk meraikan anime kegemaran mereka.

 

Pelancaran sempena pameran itu yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan inisiatif kedua Cheetah dalam dunia harta intelek anime (IP), berikutan kejayaan cemerlang tahun lalu dengan koleksi Attack On Titan.

 

Menurut kenyataan medianya, Cheetah menyasarkan untuk menarik golongan muda dan memanfaatkan budaya anime yang rancak susulan trend dan populariti anime Jepun semakin meningkat.

 

Acara pelancaran di Nihon Matsuri 2024 menampilkan pelbagai promosi dan hadiah menarik serta memberi peluang pada peminat Cheetah Spy X Family menyelami alam semesta anime melalui pelbagai aktiviti dan barangan eksklusif.

 

Tambahan pula, para hadirin menerima pelekat Spy X Family percuma dan baucar tunai Cheetah RM5 di pintu masuk dan peserta yang berpakaian seperti mana-mana watak anime menikmati diskaun 50%, terhad kepada 20 peserta pertama selama tempoh pameran koleksi itu.

 

Cheetah juga menganjurkan pertandingan media sosial menjemput pengunjung untuk mengambil gambar di gerai, berkongsi dengan hashtag yang ditetapkan, dan mengikuti @CheetahMalaysia untuk peluang memenangi wang tunai RM100 dan baucar tunai dalam talian Cheetah RM200. 

 

Pada masa yang sama, permainan "Cari Anya" menawarkan ganjaran berupa barangan Spy X Family dan Cheetah, di mana mereka perlu mencari kelima-lima Anya untuk layak memenangi item eksklusif. 

 

Terdapat juga acara menara hadiah, menampilkan hadiah barangan Spy X Family dan Cheetah percuma, menambah keterujaan dan penglibatan para hadirin.

 

Pengarah Eksekutif Cheetah Holdings Bhd, Roy Ho Yew Kee teruja untuk menghidupkan watak kesayangan Spy X Family melalui koleksi baharu itu.

 

"Keghairahan dan kegigihan peminat anime memberi inspirasi kepada kami untuk turut komited menawarkan produk unik dan bergaya," kata beliau.

 

Sementara itu, Cheetah bersiap sedia untuk melancarkan koleksi Jujutsu Kaisen, pada suku akhir tahun ini.

 

Katanya, koleksi yang akan datang itu akan meneruskan trend rekaan inovatif dan meraikan dunia anime sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Cheetah sebagai jenama terkemuka dalam gabungan fesyen dan budaya anime.- DagangNews.com