Chin Hin, Solarvest galakkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan kakitangan | DagangNews Skip to main content

Chin Hin, Solarvest galakkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan kakitangan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - Pembekal bahan binaan bersepadu, Chin Hin Group Berhad bersama anak syarikat Solarvest Holdings Berhad, Vestech Energy Sdn. Bhd. melancarkan Kempen Go Green & Clean untuk menggalakkan penggunaan solar di kediaman dalam kalangan kakitangan Chin Hin.

 

Menerusi kempen itu, Vestech menawarkan skim pembiayaan solar yang menarik yang disesuaikan untuk setiap kakitangan dan tawaran itu terpakai kepada hampir 2,000 pekerja dalam fasa awal ini.

 

Mereka boleh menikmati rebat apabila rakan dan keluarga mereka memasang tenaga solar melalui Vestech.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon berkata, selama bertahun-tahun kumpulan itu mencapai kemajuan yang membanggakan dari segi amalan perniagaannya yang mampan.

 

"Kami secara aktif mengurangkan jejak karbon kami melalui penggantian tenaga berkuasa arang batu konvensional kepada tenaga bersih berkuasa solar di beberapa kilang utama kami merentas perniagaan berbilang segmen kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

chin hin

 

Sehingga kini, kilang milik anak syarikat milik penuh Chin Hin, Metex Steel Sdn. Bhd. dan Starken AAC Sdn. Bhd. bersama Ajiya Berhad dilenhkapi solar.

 

Beliau berkata, pihaknya ingin memupuk semangat yang sama untuk pengurangan karbon dalam kalangan kakitangan syarikat dengan mendidik dan mempromosikan penggunaan tenaga solar di rumah kediaman sendiri.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest berkata, Davis Chong Chun Shiong berkata, kempen itu merupakan usaha memperjuangkan kesedaran alam sekitar yang lebih besar.

 

"Peralihan tumpuan kepada pekerja, melalui pendidikan dan pembiayaan solar yang menarik, adalah langkah positif ke arah pendekatan yang lebih holistik untuk memerangi perubahan iklim," katanya. - DagangNews.com