China secara aktif pertimbang CPTPP | DagangNews Skip to main content

China secara aktif pertimbang CPTPP

Presiden China, Xi Jinping

Presiden China, Xi Jinping

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Presiden China, Xi Jinping memberi jaminan untuk mempertimbangkan secara aktif penyertaan negara itu di dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Berucap pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC (AELM) 2020 yang berlangsung tadi, Jinping mengingatkan anggota di rantau itu untuk mengambil serius dalam kerjasama ekonomi dan teknologi walaupun mereka mempromosikan perdagangan yang bebas dan terbuka. 

 

CPTPP difahamkan sebagai sebuah perjanjian perdagangan yang dapat merendahkan atau membuang halangan perdagangan antara ekonomi-ekonomi yang telah menandatangani perjanjian itu. 

 

Ratifikasi perjanjian itu dikatakan dapat mewujudkan sebuah peluang buat Malaysia untuk menambahbaik kedudukan persaingannya dan penting untuk mencapai pertumbuhan mampan, kata Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dalam laporannya baru-baru ini. 

 

Apatah lagi ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19, CPTPP menjadi sebuah pilihan untuk merangsang pertumbuhan Malaysia tanpa perkembangan fiskal. 

 

CPTPP merupakan perjanjian yang dijenamakan semula untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

 

Perubahan nama itu berlaku setelah Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan untuk menarik diri pada 23 Januari 2017. 

 

Seterusnya, Malaysia bersama-sama 10 negara yang lain iaitu Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru,

 

Singapura dan Vietnam telah menandatangani CPTPP pada 8 Mac 2018. 

 

CPTPP merupakan perjanjian untuk melaksanakan obligasi TPPA dengan penangguhan 22 peruntukan asal di bawah TPPA.

 

Walaupun Malaysia telah menandatangai CPTPP, namun kerajaan belum membuat keputusan akhir sekiranya memilih untuk meratifikasi dan melaksanakan perjanjian itu. 

 

Sementara itu, Taiwan yang ketika itu bukan ahli CPTPP secara rasmi menzahirkan minat untuk menyertainya.

 

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga berkata, negaranya mahu merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) menerusi rumusan awal perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

 

Ini termasuk pelaksanaan dan pengembangan stabil CPTPP sebagai pengerusi pada tahun hadapan. 

 

Apabila Jepun sebagai sebuah negara yang maju dari segi teknologi mendorong supaya perjanjian itu dijadikan realiti, ini mungkin dapat menarik minat untuk menandatangani CPTPP. - DagangNews.com

 

APEC 2020