CIMB Group fokus kepada portfolio minyak sawit, kuasa bagi capai sasaran Sifar Bersih 2050 | DagangNews Skip to main content

CIMB Group fokus kepada portfolio minyak sawit, kuasa bagi capai sasaran Sifar Bersih 2050

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - CIMB Group Holdings Berhad mengambil langkah penting dalam industri perbankan global dengan memberikan tumpuan kepada portfolio pengeluaran minyak sawit mampan serta kuasa dalam usaha mencapai sasaran Sifar Bersih 2050.

 

Kumpulan itu juga terus meningkatkan komitmennya kepada aktiviti nyahkarbon selain mewujudkan sasaran untuk portfolio kuasanya, menekankan peralihan ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) yang lebih bersih.

 

Komitmen itu adalah lanjutan kepada kepada pengumuman tahun lepas mengenai sasaran Sifar Bersih bagi perlombongan arang batu haba dan portfolio simen dalam usaha mencapai komitmen yang menyeluruh.

 

Selaras dengan inisiatif itu, CIMB juga telah mengeluarkan kertas putih komprehensif mengenai rancangan nyahkarbon yang menggariskan laluan khusus sektor dan rancangan segera empat sektor utama yang mewakili kira-kira separuh daripada pelepasan semasa kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya berbesar membentangkan strategi komprehensif mengenai sektor itu yang pertama di Malaysia bagi mengukuhkan komitmen kumpulan ke arah Sifar Bersih menjelang 2050.

 

Beliau berkata, kumpulan itu menyokong pengeluaran minyak sawit yang mampan dan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhanan (PKS) dalam memajukan pengeluaran minyak sawit yang mampan.

 

CIMB
Datuk Abdul Rahman Ahmad

 

"CIMB juga komited menyokong aktiviti nyahkarbon dalam sektor tenaga, memanfaatkan kemajuan pesat dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui dan skim nasional yang menyokong untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi Sifar Bersih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIMB merupakan bank pertama di dunia yang mengumumkan laluan nyahkarbon Sifar Bersih berasaskan sains untuk sektor minyak sawit

 

Kumpulan itu juga terlibat secara aktif dengan pemegang kepentingan industri utama bagi memastikan rancangannya mencerminkan keperluan kolektif untuk maju ke hadapan dalam bidang ini.

 

Abdul Rahman berkata, dengan kemampanan menjadi keutamaan di bawah pelan strategik Forward23+, CIMB akan terus secara aktif memangkin dan memacu penggunaan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial.

 

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab dengan serius dan mematuhi arahan kerajaan bagi memastikan peralihan yang adil ketika ekonomi ASEAN dan pelanggan kumpulan mengemudi perjalanan nyahkarbon ini.

 

"CIMB akan terus menyokong dan mengembangkan pendedahan minyak sawit kami di Malaysia dan Indonesia memandangkan terdapat pelbagai kekuatan dan kecekapan yang wujud pada tanaman tersebut.

 

"Kami berbesar hati kerana telah mencapai pencapaian penting ini dalam menggariskan sasaran interim 2030 khusus untuk industri kritikal ini dan kami akan melengkapkan sektor utama lain menjelang awal 2024.

 

"Kami juga berharap untuk berkongsi pengalaman kami dan belajar daripada orang lain pada COP28 yang akan datang," katanya.- DagangNews.com