ANTARA individu yang menerima sumbangan di bawah komitmen penajaan RM300,000 oleh CIMB Islamic dengan kerjasama YBM, Taylor's dan foodpanda.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Sept. - Seramai 33 individu daripada golongan asnaf dan komuniti B40 menerima motosikal dan pekerjaan sebagai rakan penghantar di foodpanda di bawah CIMB Islamic Rider Entrepreneur Programme.
Menerusi komitmen penajaan sehingga RM300,000 oleh CIMB Islamic, program tersebut berhasrat memberi sumbangan kepada komuniti dengan menyediakan peluang pekerjaan dan latihan berkualiti terutamanya golongan muda yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, program tersebut merupakan satu langkah besar dalam usaha mereka untuk memperkasa komuniti seperti golongan asnaf dan B40 yang terjejas ketika ini.
“Dengan menyediakan peluang untuk meraih kemahiran keusahawanan dan menambah baik mata pencarian mereka, inisiatif ini mencerminkan tindakan kami dalam mencari jalan untuk memberi impak positif kepada komuniti di tempat kami beroperasi, menunjukkan komitmen kami terhadap Pengantaraan Berasaskan Nilai.
“Kami juga mahu menyertai rakan kerjasama kami, Yayasan Belia Malaysia (YBM), Taylor’s dan foodpanda dalam mengucapkan tahniah kepada 33 kisah individu daripada program ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai tanda sokongan kepada inisiatif iTEKAD oleh Bank negara Malaysia (BNM), program itu dijalankan dengan kerjasama YBM, Taylor’s dan foodpanda.
Pada majlis penyerahan penajaan yang telah dianjurkan secara maya itu, kesemua peserta disumbangkan motosikal baharu yang dilengkapi topi keledar dan baju hujan selain yuran pendaftaran foodpanda sebanyak RM150 turut dibayar.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi YBM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim; Ketua Komunikasi Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat Taylor’s, May Wong; serta Pengarah Operasi foodpanda, Kelvin Chan.
Program tersebut diselaraskan oleh YBM dengan latihan disediakan oleh Taylor’s serta foodpanda sebagai rakan penempatan pekerjaan bagi program tersebut.
Apabila mereka berjaya melengkapkan penempatan pekerjaan selama setahun dengan foodpanda, mereka diberikan pilihan untuk meneruskannya atau menubuhkan perniagaan sendiri. - DagangNews.com