CIMB, JuiceUP dan Visa jalin kerjasama perkenal rumusan pembayaran tanpa sentuh pengecasan EV | DagangNews Skip to main content

CIMB, JuiceUP dan Visa jalin kerjasama perkenal rumusan pembayaran tanpa sentuh pengecasan EV

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - CIMB Bank Bhd bekerjasama dengan JuiceUP, anak syarikat PAIDChain Sdn Bhd, dan Visa bagi memperkenalkan rumusan pembayaran tanpa sentuh pertama dalam pasaran yang direka untuk pengendali titik caj (CPO) dalam industri kenderaan elektrik (EV).

 

Kerjasama itu membolehkan rumusan pembayaran tanpa sentuh, menyediakan cara yang efektif kepada pemilik EV mengecas kenderaan mereka menggunakan kad debit atau kredit.

 

Ia juga bertujuan menjadikan proses pembayaran lancar dan pengalaman pengecasan EV lebih mudah dengan hanya menggunakan aplikasi EV.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berbesar hati menawarkan rumusan pembayaran tanpa sentuh pertama dalam pasaran, yang direka untuk menyelaraskan urus niaga di tempat caj, memastikan proses yang lancar untuk pengguna EV.

 

Beliau berkata, ia menekankan komitmen CIMB untuk memajukan mobiliti mampan melalui tawaran inovatif yang meningkatkan pengalaman pemilikan EV.

 

“Kami berharap lebih ramai pengendali CPO di seluruh negara meningkatkan dan memudahkan urusan pembayaran, menyediakan pelanggan CIMB rumusan pengecasan yang boleh dipercayai serta menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada perkongsian eksklusif, pemegang kad kredit dan debit CIMB kini boleh menikmati diskaun sehingga 15% perkhidmatan pengecasan di stesen EVPower dengan menggunakan kad mereka. 

 

Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong peningkatan bilangan pengguna EV dengan menjadikan pengecasan lebih berpatutan dan boleh diakses melalui rangkaian pengecasan EVPower.

 

CIMB juga memberikan tawaran eksklusif kepada pemohon yang berjaya bagi pembiayaan EV mereka di mana pemohon yang layak akan menerima keahlian EV+ EVPower percuma, termasuk kredit caj RM300, bonus tambah nilai 10% dan yuran bersubsidi. 

 

Pelanggan juga boleh menikmati diskaun RM1,500 untuk pengecas dinding rumah 22-kW daripada EVPower

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi JuiceUP, Benson Lim berkata, pihaknya komited menyokong matlamat kerajan bagi memajukan penggunaan EV dengan memudahkan urusan infrastruktur mengecas dan menyediakan rumusan inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang. 

 

"Untuk tujuan ini, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan CIMB untuk menawarkan rumusan pembayaran tanpa sentuh untuk kemudahan pengguna EV," katanya. - DagangNews.com