KUALA LUMPUR 25 Okt - CIMB Group Holdings Berhad kekal komited terhadap sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 10.2% hingga 11% bagi FY23 selepas mencatatkan pulangan sebanyak 10.6% pada separuh pertama tahun ini.
Maybank Investment Bank (Matbank IB) berkata, sasaran kumpulan itu adalah lebih tinggi berbanding yang ditetapkan mereka iaitu sebanyak 9.8%.
"Bagi FY24, pengurusan kumpulan itu meletakkan sasaran ROE lebih tinggi iaitu antara 11.5% hingga 12.5%, mengatasi sasaran kami sebanyak 10%.
"Kejutan positif ini sudah pasti akan menyediakan asas yang baik bagi menaik taraf penilaian saham kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, secara amnya, persaingan untuk simpanan tetap telah berkurangan pada suku ketiga tahun ini, jika dibandingkan dengan saingan pada separuh pertama 2023.
Katanya, kenaikan kadar faedah sebanyak 25bps (mata asas) pada Mei lalu memberi sedikit manfaat kepada kumpulan itu.
"Saingan bermusim bagaimanapun kembali pada suku keempat tahun ini menyebabkan kos pembiayaan yang lebih tinggi, tetapi ia tidak begitu agresif seperti pada suku keempat 2022," katanya.
Sementara itu, Maybank IB berkata, pemulihan margin faedah bersih (NIM) di Indonesia dilihat kekal sebagai cabaran ketika ini.
"Pengurusan kumpulan memberi panduan bahawa pemampatan NIM adalah antara 15bps hingga 20bps berbanding 26bps pada separuh pertama tahun ini.
"Bagaimanapun, unjuran kami kami mengaitkan pemampatan NIM adalah pada kadar 21bps pada FY23," katanya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, prospek jangka pendek bagi aset kualiti kekal stabil, dan terdapat keyakinan bahawa nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kumpulan mungkin telah memuncak (adalah 3.3% pada akhir Jun 2023).
Bagaimanapun, pihak pengurusan tetap berhati-hati dengan prospek keseluruhan tahun depan, terutamanya dengan cabaran makro global. Sektor yang berada dalam pemantauan termasuk pembangunan hartanah, hartanah komersial dan runcit.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com