Claytan dipilih sertai Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai | DagangNews Skip to main content

Claytan dipilih sertai Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai

Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Syarikat pelopor industri seramik negara, Kumpulan Claytan dipilih sebagai rakan korporat bagi Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

 

Pengumuman yang dibuat oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) itu memberi peluang kepada Claytan untuk tampil di Pavillion Malaysia bersama beberapa jenama tempatan lain termasuk pengendali kafe dan runcit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, kumpulan berkenaan turut berjaya mendapatkan kontrak untuk memasang produknya di beberapa pavilion lain serta di tempat awam di tapak ekspo di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. 

 

Perkara tersebut diumumkan dalam acara maya bersempena dengan Hari Tandas Sedunia 2020 yang bertemakan “Sanitasi Mampan dan Perubahan Iklim” di samping meraikan ulang tahun ke-100 Claytan.

 

Shamsul Bahar Mohd. Nor
Shamsul Bahar Mohd. Nor 

 

“Pencapaian 100 tahun Claytan menandakan legasi syarikat, daya maju serta kejayaan berterusan sejak penubuhannya pada tahun 1920. Hari ini, syarikat ini telah memperluaskan jejaknya ke seluruh dunia.

 

“Pengiktirafan produk Claytan oleh pavilion-pavilion lain di Ekspo 2020 turut menunjukkan kepercayaan terhadap produk Claytan. Syarikat seperti Claytan membuktikan bahawa Malaysia mungkin merupakan ‘emerging market’ tetapi kemampuan kita setanding dengan negara maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hari Tandas Sedunia bertujuan memberi inspirasi tindakan untuk menangani krisis sanitasi global demi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UN SDG) ke-6 yang menjanjikan sanitasi untuk semua menjelang tahun 2030.

 

Acara maya Hari Tandas Sedunia tersebut dianjurkan untuk mempromosi Pavilion Malaysia dan berkongsi mesej pembangunan mampan, sejajar dengan tema Pavilion Malaysia iaitu 'Memperkasa Kemampanan'.  

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyarankan agar syarikat Malaysia mengambil kesempatan dalam Ekspo 2020 yang menjangkakan 25 juta pengunjung sepanjang tempoh enam bulan untuk mempromosikan jenama mereka di arena global melalui kerjasama dengan Pavilion Malaysia.

 

Ekspo 2020 Dubai akan berlangsung dari 1 Oktober 2021 sehingga 31 Mac 2022.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MGTC, Syed Ahmad Syed Mustafa berkata, ekspo 2020 menawarkan peluang yang tidak harus dilepaskan kerana dianggarkan 80% peserta ekspo terdiri daripada mereka yang ingin meningkatkan perdagangan global.

 

Syed Ahmad Syed Mustafa
Syed Ahmad Syed Mustafa

 

“Ekspo ini dijangka akan mewujudkan pelbagai perkongsian perniagaan dan membuka peluang bagi industri-industri terbabit. Kami menawarkan jenama-jenama Malaysia untuk menjadi rakan kerjasama Pavilion Malaysia dengan pelbagai pakej yang bersesuaian.

 

"Walaupun Ekspo 2020 ditangguhkan selama satu tahun, Pavilion Malaysia terus mengadakan aktiviti, termasuk secara maya untuk mempromosikan penyertaan negara di acara ini di mana Malaysia akan menganjurkan 26 program perniagaan mingguan yang bertema," ujarnya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Kumpulan Claytan, C. S. Chen memberitahu, pandemik COVID-19 telah mendorong syarikatnya untuk menghasilkan satu sistem yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna.

 

"Claytan sedang menyelidik teknologi rumah pintar serta analisis data besar (big data), khususnya bagi menghasilkan sistem yang mampu mengesan penyakit bahkan juga barah, yang akan memberi amaran kepada pengguna mengenai masalah kesihatan yang mereka mungkin alami.

 

“Beberapa negara sedang menggunakan program pengawasan kumbahan untuk mengesan fragmen virus Covid-19 dalam kumbahan yang tidak dirawat. 

 

Sekiranya kita dapat menghasilkan sistem sebegitu rupa yang menguji dan mengumpulkan data secara automatik dari tempat kediaman atau tandas awam, yang dapat memberi amaran tentang potensi risiko kesihatan yang anda didedahkan, kita dapat menentu dan menghentikan penyebaran virus dengan lebih berkesan,” tambah beliau lagi. - DagangNews.com