Cloudpoint Technology sasar kumpul RM40.4 juta melalui terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

Cloudpoint Technology sasar kumpul RM40.4 juta melalui terbitan IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Cloudpoint Technology Berhad yang melancarkan prospektus untuk tawaran awam permulaannya (IPO) menyasarkan untuk mengumpul RM40.4 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Mei 2023.

 

Cloudpoint yang merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) dalam rangkaian perusahaan dan pusat data, keselamatan siber, perkhidmatan awan dan penyelesaian aplikasi perisian berkata permintaan untuk penyelesaian rangkaian dan keselamatan siber dijangka meningkat lagi pada masa hadapan.

 

Kumpulan itu berkata daripada hasil IPO itu, sejumlah RM13.3 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, termasuk membina pusat operasi keselamatan baharu, meningkatkan pusat operasi rangkaian sedia ada dan mewujudkan infrastruktur awan awam baharu.

 

Sementara itu, RM15.8 juta akan digunakan untuk modal kerja, RM7.8 juta untuk pemindahan pejabat dan baki RM3.5 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Cloudpoint, Choong Wai Hoong berkata, syarikat itu telah berkembang untuk menjadi salah satu penyedia penyelesaian IT dan keselamatan siber yang terkemuka dalam industri.

 

“IPO adalah sesuatu yang yang akan mendorong Cloudpoint ke hadapan, meningkatkan dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan kami.

 

“Kami akan terus menyampaikan inovasi dan memastikan keuntungan yang mampan untuk syarikat dan yang lebih penting, kami komited untuk memberikan nilai jangka panjang dan pulangan yang luar biasa kepada para pemegang saham kami,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Sdn. Bhd., Danny Wong berkata, banyak organisasi dan perusahaan meningkatkan belanjawan IT mereka untuk membiayai keutamaan dipacu perniagaan dan menggantikan sistem warisan, Cloudpoint berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pasaran penyelesaian IT yang berkembang pesat.

 

IPO Cloudpoint menawarkan 159.48 juta saham pada harga 38 sen sesaham dengan 53.16 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

Sejumlah 26.58 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui undian, 13.29 juta saham akan diketepikan untuk pengarah/pekerja yang layak dan 66.45 juta saham untuk pelabur yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO Cloudpoint. - DagangNews.com