Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Julai - Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan baharu wabak COVID-19 sebanyak 10,972 kes hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, 1.5% kes (171 kes) yang dilaporkan itu berada dalam kategori tiga, empat dan lima.
"Meskipun peratusan kes di kategori 3-5 adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa kategori 5 adalah mereka yang memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari.
"Kes kategori 4 memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari dan kes kategori 3 memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi," jelas KKM dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Berikut adalah pecahan kategori berdasarkan laporan kes hari ini;
- Kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator): 26 kes (0.2%)
- Kategori 4 (perlu bantuan oksigen): 42 kes (0.4%)
- Kategori 3 (radang paru-paru): 103 kes (0.9%)
- Kategori 2 (gejala ringan): 4,464 kes (40.7%)
- Kategori 1 (tiada gejala): 6,337 kes (57.8%)
Mengulas lanjut, KKM memberitahu, tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes-kes itu untuk diberi jagaan di wad dan ICU.
Tempoh masa yang lama itu secara tidak langsung mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad menjadi semakin penuh dan sesak.
Jelas KKM, perkara itu akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital dan PKRC.
"Oleh itu kita perlu bersama-sama menjaga diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita agar terlindung daripada dilangkiti COVID-19.
"Segeralah mendaftar dan dapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar kita dapat melindungi diri dan melindungi semua," tambah KKM lagi. - DagangNews.com