COVID-19 : Kawan Food gantung sementara operasi | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : Kawan Food gantung sementara operasi

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kawan Food Bhd. menggantung operasinya buat sementara waktu berikutan terdapat 78 kes positif COVID-19 disahkan dalam kalangan pekerja bahagian operasi anak syarikat milik penuhnya, Kawan Food Manufacturing Sdn. Bhd.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata, ia menerima surat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggantung operasinya bermula hari ini hingga 21 Jun 2021.

 

Katanya, ia telah melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan di bahagian operasi, premis dan asrama termasuk penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu, penjagaan kebersihan yang betul, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), sanitasi yang kerap dan mengehadkan lawatan daripada orang luar.

 

“Tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada KKM, kilang tersebut dijangka menyambung semula operasi  secara berperingkat bermula 22 Jun 2021. 

 

"Kilang pengeluaran di China tidak terjejas dan beroperasi sepenuhnya,” katanya. - DagangNews.com