KUALA LUMPUR 18 Julai - Demi membantu mengukuhkan sistem kesihatan Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit COVID-19, Maybank komited untuk menyumbangkan RM14 juta untuk segera meningkatkan kapasiti di dua hospital kerajaan utama bagi memastikan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang berterusan.
Sumbangan ini akan disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 MERCY Malaysia, menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), bermula dari minggu ke-empat Julai 2021.
Pengerusi Maybank Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, Kumpulan Maybank, seperti semua rakyat Malaysia yang lain, mengambil berat terhadap peningkatan jumlah pesakit COVID-19 sejak akhir-akhir ini dan tekanan yang dihadapi oleh infrastruktur sistem kesihatan negara.
“Kami menyedari cabaran yang dihadapi oleh pihak hospital dan barisan hadapan yang gagah berani, serta kesusahan yang dihadapi oleh pesakit dan orang yang mereka sayangi kerana kemungkinan kelewatan dalam menerima rawatan perubatan akibat jumlah kes yang tinggi,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
“Memandangkan keperluan yang sangat mendesak di kedua-dua hospital besar ini, kami berasa ianya amat penting agar semua usaha yang dilakukan harus meringankan keperluan kritikal mereka untuk mendapatkan sokongan perubatan pada masa ini dan menawarkan kelegaan kepada pesakit dan barisan hadapan di sana,” kata beliau.
Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, Presiden MERCY Malaysia berkata, “MERCY Malaysia sangat berbesar hati dengan sokongan berterusan daripada Maybank, yang telah bersama kami sejak tahun 2014.
Menurutnya, sumbangan terbaru ini merupakan suatu pengiktirafan dan kepercayaan yang dimiliki oleh Maybank terhadap usaha MERCY sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan di mana sumber pendanaan awal adalah kunci kepada penyediaan bantuan kemanusiaan semasa kecemasan.
"Momentum tindak balas COVID-19 untuk Malaysia telah mencapai puncaknya, oleh itu ia memerlukan persiapaan strategik, tindakan budi bicara dan penglibatan yang mampan,” katanya.
Zamzamzairani berkata, program ini akan dijalankan dalam jangka masa 20 minggu melalui pendekatan tiga serangkai - iaitu melalui penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan; mobilisasi sumber manusia; dan latihan teknikal termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.
“Ini akan memberi ruang kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 Kategori 4 dan 5 meningkat sebanyak 6 unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit COVID-19 masing-masing di dua hospital ini,” jelas beliau.
“Pada masa yang sama, sejumlah 40 pekerja kesihatan dan staf sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL, untuk berkhidmat di wad COVID-19 dan wad biasa, membolehkan jabatan pesakit luar hospital untuk dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit.”
Inisiatif ini juga akan menyaksikan lebih banyak kakitangan perubatan terlatih dalam menangani kes COVID-19 secara berkesan serta menyediakan pelbagai peralatan perubatan ICU dan bukan ICU yang sangat diperlukan, termasuk jabatan kecemasan di kedua-dua hospital. Ini termasuk, hampir 4,000 peralatan perubatan dan sokongan seperti monitor BP, mesin ECG dan jantung, meter aliran oksigen, alat kawalan ritma jantung (defibrillator), ventilator, pemekat oksigen, monitor penting rawatan kritikal dan katil ICU, antara yang lain.
Menyedari keperluan untuk mengurangkan cabaran fizikal dan kesihatan mental di kalangan pekerja kesihatan barisan hadapan, program ini juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial melalui modul dan mekanisme pengurusan kesihatan yang boleh dipercayai, serta menyampaikan bantuan secara langsung untuk mengurangkan beban hidup pekerja dan ahli keluarga mereka.
Zamzamzairani berkata, memandangkan terdapat cabaran kapasiti yang sangat besar di HTAR, sumbangan Maybank juga akan mewujudkan penubuhan hospital sementara di sana bersama dengan pemberian latihan teknikal kepada kakitangan untuk meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit COVID-19. Ini akan membantu mengurangkan beban di ICU dan wad am dengan pengurusan aktif pesakit Kategori 3.
“Harapan kami di waktu bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, MERCY Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, kesinambungan sistem kesihatan negara kita akan terjamin, dan hospital-hospital kita akan dilengkapi dengan lebih baik dan bersedia untuk menghadapi bukan sahaja wabak COVID-19 sekarang, tetapi juga pandemik yang tidak dijangka di masa depan,” kata beliau.
“Sebagai organisasi dengan komitmen untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mendukung masyarakat supaya kami dapat menjana kemampanan kehidupan dan membantu menahan penyebaran penyakit ini, sekaligus mengurangi risiko dan tekanan bagi pekerja barisan hadapan.”
Sebelum kerjasama dengan MERCY Malaysia, Maybank pada tahun 2020 telah menyumbang lebih dari RM20 juta untuk menyokong pelbagai usaha bantuan COVID-19 seperti penyediaan peralatan perubatan dan perlindungan diri ke hospital, bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, penyediaan stesen basuh untuk komuniti terpinggir dan bekalan peralatan penting di kemudahan kesihatan untuk tujuan pencegahan dan kawalan jangkitan.
Maybank juga telah menawarkan platform sumbangan dana digital MaybankHeart yang menyaksikan lebih RM500,000 dikumpul untuk menyokong pelbagai inisiatif dalam memerangi COVID-19. - DagangNews.com