Crest Builder terima kontrak bernilai RM449 juta bagi pembangunan komersial Sunway Velocity 3 di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Crest Builder terima kontrak bernilai RM449 juta bagi pembangunan komersial Sunway Velocity 3 di Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Crest Builder Holdings Bhd menerusi Crest Builder Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM448.5 juta daripada Sunway Velocity Three Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Tanda Warisan Sdn Bhd bagi pembangunan komersial Sunway Velocity 3 di Jalan Shahbandar, Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu berkata, pembangunan itu melibatkan pembinaan dua blok apartment servis 60 tingkat yang juga terdiri daripada tempat letak kereta bawah tanah, tempat letak kereta bertingkat setinggi lapan tingkat serta kemudahan rekreasi.

 

"Kerja-kerja pembinaan akan mengambil masa kira-kira 43 bulan untuk disiapkan dari tarikh pemilikan tapak yang dijadualkan pada 15 Mac 2024 dan disasarkan siap pada 14 Oktober 2027.

 

"Menerusi kontrak terbaharu itu, buku pesanan tertunggak kumpulan kini berjumlah kira-kira RM1.8 bilion dan memberikan Crest Builder keterlihatan pendapatan untuk tempoh empat tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Crest Builder, Eric Yong Shang Ming berkata, pihaknya berbesar hati kerana berjaya memperoleh projek itu. 

 

"Dengan kontrak pertama untuk tahun ini, saya yakin kami akan mencapai sasaran penambahan buku pesanan RM500 juta," katanya.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya.

 

Kontrak itu juga tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar ke atas pegangan saham Crest Builder. - DagangNews.com