CSSB lantik Roslinda sebagai Ketua Bahagian Produk dan Perkhidmatan Patuh Syariah | DagangNews Skip to main content

CSSB lantik Roslinda sebagai Ketua Bahagian Produk dan Perkhidmatan Patuh Syariah

Roslinda Ahmad


NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Crowd Sense Sdn. Bhd. (CSSB) iaitu operator perniagaan berkonsepkan peer-to-peer (P2P) di bawah platform Cofundr melantik Roslinda Ahmad sebagai Ketua Bahagian Produk dan Perkhidmatan Patuh Syariah. 

 

Dilancarkan pada Julai 2020, ia merupakan satu-satunya platform P2P yang menekankan fokus terhadap pembiayaan insurans am premium untuk syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

 

Pelantikan Roslinda di dalam CSSB akan menjadikan syarikat itu lebih dinamik berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalamanya dalam bidang kewangan Islam. 

 

Dia sebelum ini berkhidmat bersama Kumpulan CIMB selama 17 tahun dan merupakan salah seorang perintis dalam penubuhan CIMB Islamic.

 

Ketika berkhidmat sebagai Pengarah dan Ketua Bahagian Pembangunan Produk dan Strategi, Roslinda dan pasukannya meraih pelbagai anugerah buat CIMB dan telah mengekalkan kedudukan mereka di tempat teratas di dalam pasaran Sukuk global selain menerajui Thoughts Leadership di CIMB Islamic.

 

CSSB yakin bahawa Roslinda mampu meraih lebih banyak kejayaan melalui pengenalan produk patuh syariah berinovatif kepada pasaran tempatan, rantau Asia dan global di masa hadapan.

 

“PKS memainkan peranan yang penting dalam ekonomi terutamanya untuk negara-negara membangun. Mereka mewakili lebih kurang 90% perniagaan dan menawarkan lebih daripada 50% peluang pekerjaan di seluruh dunia. 

 

"Namun, peluang untuk mendapat pembiayaan merupakan halangan utama bagi syarikat PKS, ini telah dinyatakan sebagai rintangan kedua tertinggi yang dihadapi mereka yang ingin mengembangkan perniagaan dalam pasaran baharu.

 

"Di CSSB, fokus utama sekarang adalah untuk memudahkan akses syarikat PKS untuk memperoleh bantuan kewangan sambil menawarkan penyelesaian inovatif yang patuh syariah menerusi pendekatan holistik dengan menggabungkan produk dan khidmat kewangan secara menyeluruh.

 

"Kami berharap dapat memainkan peranan penting untuk menyokong semua PKS termasuk segmen yang kurang mendapat perhatian seperti PKS milikan wanita dan pada masa yang sama memperkenalkan produk kewangan yang inovatif supaya industri Takaful negara semakin maju,” kata Roslinda yang juga Ijazah Sarjana Muda Sains di dalam Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of the Pacific, California dan juga Ijazah Sarjana Perniagaan (MBA) dari University of Miami, Florida.-DagangNews.com