Cukai Barangan Mewah dijangka beri kesan negatif kepada pusat beli-belah Suria KLCC - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Cukai Barangan Mewah dijangka beri kesan negatif kepada pusat beli-belah Suria KLCC - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - RHB Investment menjangkakan cadangan Cukai Barangan Mewah antara 5% hingga 10% memberi kesan negatif kepada KLCCP Stapled Group, kerana pusat beli-belah utamanya Suria KLCC adalah bagi memenuhi keperluan pembeli dalam kumpulan berpendapatan sederhana hingga atas.

 

Firma penyelidikan itu mengubahsuai kos ekuiti lebih tinggi kepada 7.3% daripada 7.1% untuk mengambil kira peningkatan ketidakpastian dan sentimen negatif yang menyelubungi cukai yang dicadangkan.

 

Katanya, kerajaan akan menggubal undang-undang baharu bagi mengenakan cukai 5% hingga 10% ke atas barangan mewah tertentu berdasarkan nilai ambang barangan tersebut.

 

"Sementara kita perlu menunggu butiran lanjut, Perdana Menteri menyebut barangan seperti barang kemas dan jam tangan sebagai contoh dalam ucapan Bajet 2024.

 

"Sebelum ini dalam pembentangan Bajet 2023 pada Februari, Perdana Menteri turut menyebut barangan fesyen sebagai contoh lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pengecualian cukai untuk pelancong asing untuk tidak menghalang pemulihan industri pelancongan memberikan sedikit kelegaan.

 

Katanya, kerajaan juga mengembalikan semula Tahun Melawat Malaysia kepada 2026 dengan sasaran 26.1 juta ketibaan pelancong asing, menyamai ketibaan pada 2019 dan ia menyerlahkan sifat pemulihan pelancongan yang lebih beransur-ansur.

 

Katanya, sesetengah perbelanjaan mungkin dibawa ke hadapan sebelum pelaksanaan cukai ini, terutamanya pada suku keempat yang lebih kukuh mengikut musim, tetapi jualan penyewa jangka panjang berkemungkinan terjejas.

 

"Kadar penghunian Suria KLCC telah meningkat kepada 96% pada suku pertama tahun ini selepas menurun kepada 92% pada 2022, tetapi kami fikir sentimen akan terjejas sehingga terdapat lebih banyak kejelasan tentang kesan kepada pendapatan penyewa.

 

"Pada separuh pertama 2023, segmen runcit menyumbang 33% daripada jumlah hasil KLCCP," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan saranan 'neutral' pad aharga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM7.27 sesaham. - DagangNews.com