Cukai Makmur beri Nestle kos tambahan RM59.5 juta : MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cukai Makmur beri Nestle kos tambahan RM59.5 juta : MIDF Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Pelaksanaan Cukai Makmur dijangka memberikan kos tambahan sebanyak RM59.5 juta kepada Nestle (Malaysia) Bhd.

 

Walaubagaimanapun menurut MIDF Research, Nestle memaklumkan pihaknya percaya Kumpulan tidak mungkin terjejas dengan ketara dengan Cukai Makmur kerana mereka masih dalam proses pemulihan susulan penurunan keuntungan dari 2019.

 

"Mengenai cukai gula, Kerajaan masih belum mendedahkan sebarang butiran. 

 

"Berdasarkan peristiwa dua tahun lalu apabila terdapat pelaksanaan cukai gula, 70% daripada produknya dikecualikan daripada cukai tersebut. 

 

"Sehingga kini, Nestlé (M) telah merumuskan semula produknya dari segi kandungan gula dan berharap 90% produknya dikecualikan apabila cukai gula dilaksanakan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Untung bersih Nestle meningkat 15.3% kepada RM148.02 juta daripada RM128.39 juta setahun yang lalu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berikutan pertumbuhan teratas yang bertambah baik dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah. 

 

Hasil suku tahunannya turut naik 3.62% kepada RM1.44 bilion daripada RM1.39 bilion setahun lalu dan syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham, berjumlah RM164.15 juta, untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.  

 

Kumpulan itu berkata hasil suku tahunan yang lebih tinggi itu dicapai berikutan pertumbuhan jualan dalam kedua-dua pasaran domestik dan eksport, yang masing-masing meningkat sebanyak 3.4% dan 4.5%.  

 

MIDF berkata, dengan pembukaan semula ekonomi dan dengan kadar vaksinasi dewasa sebanyak 95.7%, pihaknya menjangkakan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk perbelanjaan pemasaran untuk menampung pengurangan keuntungan daripada perayaan sebelum ini. 

 

"Kami mengekalkan saranan NEUTRAL dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM141.50. Sementara menunggu penjelasan mengenai cukai gula dan Cukai Makmur daripada Kerajaan, kami membiarkan anggaran pendapatan kami tidak berubah," katanya. -DagangNews.Com