Dagangan saham Kanger, Tanco, MAG, Hwatai paling aktif, PPB, Hong Leong, Mulpha ‘tersungkur’ | DagangNews Skip to main content

Dagangan saham Kanger, Tanco, MAG, Hwatai paling aktif, PPB, Hong Leong, Mulpha ‘tersungkur’

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pasaran saham tempatan dibuka 0.42 mata lebih rendah pada pagi ini kepada 1,514.97, namun melonjak 2.18 mata setelah 10 minit didagangkan kepada 1,517.57.

 

Sektor teknologi dan tenaga melonjakkan indeks utama, FBM KLCI dengan sektor telekomunikasi, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan penjagaan kesihatan pula mengheret turun pergerakan pasaran.

 

Saham Kanger International Berhad masih mengekalkan kedudukannya sekali gus mengungguli dagangan paling aktif dengan menokok 1 sen kepada 0.7 sen. 

 

Selain Kanger, saham Tanco Holdings Berhad turut berjaya mencuri perhatian pelabur dengan menyaksikan harga sahamnya melonjak 4 sen kepada 20.5 sen. 

 

Turut merasai impak positif itu adalah saham MAG Holdings Berhad, Hwa Tai Industries Berhad, Sasbadi Holdings Berhad, TSR Capital Berhad Dan Serba Dinamik Holdings Berhad.

 

Beralih kepada kaunter paling rugi, PPB Group Berhad mencatatkan kedudukan tercorot apabila harga sahamnya merosot 18 sen kepada RM18.24. 

 

Sebagai rekod, PPB merupakan syarikat induk kepada operasi pawagam terbesar di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) yang merupakan antara industri paling terjejas ketika pandemik ini. 

 

Impak negatif itu turut mengheret turun harga saham Hong Leong Financial Group Berhad yang mencatatkan kemerosotan 16 sen kepada RM17.32. 

 

Ini diikuti oleh saham Mulpha International Berhad yang menyusut 8 sen kepada RM2.07.

 

Secara keseluruhannya, dagangan pagi ini berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 295 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 206. - DagangNews.com