Mohd Haziq Najmi Zailani (dua dari kiri) bersama Rektor UiTM Johor, Profesor Dr. Ismail Ahmad; Timbalan Rektor BPJIA, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon dab Koordinator MASMED, Siti Nordiyana Isahak.
Oleh Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain & Mohd Azuan Mohd Alias
MENCEBURI bidang perniagaan selepas tamat pengajian di peringkat universiti bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang anak muda.
Cara pemikiran dan persepsi seseorang dalam melihat peluang perniagaan ini amat penting bagi memastikan bahtera perniagaan itu dapat berterusan dalam jangka masa panjang.
Berjinak-jinak dalam perniagaan berasaskan Daging Salai dengan jenama Standard Taste telah berjaya menerokai industri penyediaan makanan tanahair melalui produk yang diperkenalkan oleh Mohd Haziq Najmi Zailani pada tahun 2019. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Analisis Pelaburan, Universiti Teknologi MARA (Cawangan Johor).
Haziq bertekad dengan memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya serta berjaya mendaftarkan produk atas jenama Daging Salai Standard Taste dan memulakan operasi perniagaan pada Mac 2020.
Melihat kepada trend pasaran masa kini, permintaan daripada pelanggan terhadap daging salai tetap meningkat terutamanya dari golongan muda yang sibuk bekerja di samping cita rasa terhadap masakan ala kampung yang terus menjadi pilihan masyarakat bandar.
Penghasilan daging salai yang berkualiti tinggi ini menggunakan konsep tradisional bermula dari pemilihan kayu yang akan menjadi bahan bakar utama produk bagi mengekalkan keaslian cita rasa masakan melayu secara turun temurun.
Proses salai ini memberikan kelainan tersendiri jika dibandingkan dengan produk lain di pasaran melalui aroma salai dan keaslian rasa yang dihasilkan dengan tempoh pembakaran selama 8 jam.
Berdepan dengan cabaran dalam bidang perniagaan yang kian meruncing ditambah lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia tidak mematahkan semangat Haziq dalam melayari bahtera perniagaannya.
Beliau amat positif dengan senario masa hadapan atas permintaan produk daging salai yang stabil memandangkan dalam apa jua keadaan, masyarakat tetap berbelanja untuk produk makanan.
Selain itu, melalui perniagaan yang diusahakan oleh Haziq ini juga telah berjaya mencipta pekerjaan kepada golongan belia di sekitar daerah Segamat, Johor.
Berbekalkan semangat dan jati diri yang tinggi dalam menguruskan perniagaan, Haziq telah berjaya menerima Anugerah Perusahaan Graduan Terbaik pada Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi yang diadakan pada 21 Disember 2021.
Beliau berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM 10,000. Kejayaan yang dicapai oleh graduan UiTM ini secara tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada generasi milenial agar melihat bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan yang mampu menjanjikan pendapatan lumayan berbekalkan tekad dan semangat yang jitu dalam menguruskan perniagaan.
Semoga kisah kejayaan ini akan menyuntik semangat mahasiswa dan warga universiti untuk mengorak langkah menceburi bidang perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
Golongan milenial di Malaysia perlu lebih responsif dan proaktif kepada dasar ini selaras dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang bercirikan keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030. – DagangNews.com
Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA dan Mohd Azuan Mohd Alias adalah Ketua Jabatan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA