KUALA LUMPUR 17 Mei - Walaupun perolehan pertahanan Malaysia ketika ini disifatkan perlahan berbanding negara-negara serantau, namun ia tetap menjadi perhatian firma-firma antarabangsa biarpun jumlahnya kecil.
Ini kerana kejayaan memenangi sebarang tender di sini dapat mewujudkan peluang perniagaan yang konsisten pada jangka masa panjang kepada firma pengeluarnya.
Dengan jangka hayat pengoperasian sesuatu aset ketenteraan di Malaysia dalam lingkungan antara 20 hingga 30 tahun, ia membawa nilai perniagaan yang cukup lumayan.
Maka, lumrah jika berlakunya persaingan semasa proses untuk memenangi tender tersebut termasuklah menerusi perang media bagi menonjolkan kelebihan aset masing-masing.
Usaha melobi hanya berakhir setelah keputusan pembelian diputuskan oleh kerajaan dan semua pihak yang bersaing menerimanya sebagai muktamad.
Bagaimana pun, bukanlah menghairankan juga apabila cakap-cakap bagi mempertikaikan sesuatu perolehan pertahanan masih ada yang biasanya dilakukan oleh pihak ketiga.
Perkara ini bagaimana pun tidak memberi kesan pada perolehan jika kontrak telah dimeterai tetapi dilihat sebagai usaha untuk memberi persepsi negatif pada apa yang dipilih pihak kerajaan.
Seperti dijangka, perkara berkenaan berlaku apabila ada pihak yang mempertikaikan keputusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) memilih FA-50 Block 20 sebagai pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT).
Sebuah laman atas talian tempatan (bukan portal pertahanan) baru-baru ini mempersoalkan keputusan tersebut apabila mendakwa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membeli pesawat prototaip yang belum teruji.
Dakwanya lagi, pemilihan pesawat protaip tersebut menjadikan juruterbang TUDM sebagai tikus makmal serta berisiko kerana bakal menerbangkan pesawat berteknologi tidak matang.
Bukan bertujuan untuk mempertahankan MINDEF atau kerajaan, dakwaan penulis berkenaan sebenarnya tidak berasas kerana pesawat yang dipilih TUDM, FA-50 Block 20 merupakan yang terbaik dalam kelasnya.
FA-50 Blok 20 menewaskan Tejas dari India, JF-17 (China/Pakistan), MiG-35 (Rusia) dan Hurjet (Turki).
Korea Aerospace Industries (KAI) bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn. Bhd. untuk menawarkan pesawat LCA FA-50.
Mungkin kerana pesawat varian Block 20 ini sedang melakukan beberapa ujian untuk meningkatkan keupayaan, maka penulis berkenaan mendakwa ia sebagai pesawat protaip.
Menjadi kebiasaan pada pengeluar pesawat melakukan peningkatan keupayaan dari masa ke semasa agar teknologi pesawat sentiasa berkembang meliputi persenjataan dan avionik.
Tidak dinafikan saingan untuk memenangi tender terbuka bagi program LCA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini sengit apabila enam syarikat mengemukakan calon masing-masing.
Tawaran tender LCA dibuat pada bulan Julai 2021 yang mana enam tawaran telah diterima pada tarikh tutup tiga bulan kemudian.
Program LCA/LIFT menelan kos RM4 bilion bagi perolehan 18 buah pesawat pertama menggantikan pesawat pejuang Hawk 100/200 dan Aermacchi MB-339.
Antara ciri-ciri yang ditekankan TUDM ialah calon pesawat mempunyai kemampuan pengisian minyak di udara, melancarkan tembakan misil secara Beyond Visual Range (BVR), kelajuan supersonik dan kerjasama tempatan.
Penghantaran pesawat pula hendaklah disempurnakan dalam tempoh 36 bulan setelah kontrak dimeterai.
TUDM merancang untuk mendapatkan 36 buah pesawat LCA/FLIT kesemuanya.
Program LCA TUDM merupakan perjanjian keempat antara KAI dengan pelanggan di Asia Tenggara selepas Indonesia, Filipina dan Thailand.
Cuma bezanya TUDM memilih varian terkini dan paling canggih iaitu FA-50 Block 20 menjadikan kesemuanya 58 buah pesawat T-50/FA-50 KAI dioperasikan tentera udara serantau.
FA-50 mempunyai lebih banyak kapasiti bahan api dalaman, avionik yang dipertingkatkan, radome yang lebih panjang, dan rangkaian data taktikal.
Blok 20 juga boleh melancarkan peluru berpandu udara ke udara seperti AIM-120 AMRAAM.
Bagi pasaran antarabangsa pula, Malaysia menjadi pelanggan terbaharu KAI selepas Poland yang bersetuju membeli 48 buah pesawat FA-50 termasuk 36 varian Block 20.
Isu sama pernah berlaku 20 tahun lalu semasa MINDEF memutuskan kereta kebal PT-91M buatan Bumar Labedy, Poland sebagai aset baharu bagi penubuhan batalion tank.
Keputusan ini telah menimbulkan rasa kurang senang pada syarikat pesaing lantas menyiarkan kenyataan terbuka menerusi media melalui pihak ketiga.
Dakwanya, PT-91M yang dibina berasaskan kereta kebal T-72M1 milik Rusia merupakan teknologi usang dan tidak relevan berbanding kereta kebal buatan negara barat seperti Abrams dan Leopard.
Kereta kebal T-72 juga mudah ditewaskan semasa Perang Teluk di Iraq selain menjadi mangsa dalam pertempuran bandar semasa Perang Chechen.
Sebenarnya, PT-91M merupakan varian baharu daripada kereta kebal PT-91 Twardy dengan ciri-ciri yang dinaik taraf termasuk sistem kawalan tembakan, enjin dan komunikasi.
PT-91M dibina semula sebagai sebuah kereta kebal baru mengikut kehendak MINDEF melibatkan tenaga jurutera tempatan.
Apa yang menarik, keputusan membeli kereta kebal ini juga telah membuka pasaran perniagaan baharu antara Malaysia dengan Poland yang tidak pernah diteroka selain mengukuhkan hubungan kedua-dua negara. - DagangNews.com