Dana BIMB Investment baharu tawar 5% pulangan tahunan | DagangNews Skip to main content

Dana BIMB Investment baharu tawar 5% pulangan tahunan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) mengumumkan pelancaran Dana Bank Islam Premier (BIPF), sebuah dana borong aset campuran patuh syariah yang menyasarkan pengagihan pendapatan tahunan.

 

Menerusi BIPF, para pelabur kini boleh meneroka peluang pelaburan baharu yang berpotensi memberikan pulangan purata 5% setahun dalam masa lima tahun dengan pelaburan berisiko sederhana hingga tinggi.

 

Ia dilengkapi dengan penyelesaian pelaburan fleksibel tanpa tempoh penguncian dan caj pengeluaran.

 

Dana itu ditawarkan dengan pelaburan permulaan minimum RM30,000 dan pelaburan tambahan minimum RM15,000 bermula 17 November 2020 di semua cawangan Bank Islam seluruh negara.

 

Harga tawaran permulaan untuk BIPF adalah RM1.00 seunit dalam tempoh tawaran permulaan selama 45 hari, bermula dari 17 November 2020 hingga 1 Januari 2021.

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, dana itu menambahkan lagi penyelesaian pengurusan kewangan Bank Islam untuk pelanggan yang bernilai tinggi.

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

“Kami berbesar hati dengan pelancaran Dana Bank Islam Premier yang menawarkan peluang pelaburan inovatif kepada para pelabur sofistikated.

 

"Kumpulan Bank Islam terus menawarkan solusi pengurusan dana dan kewangan yang menyeluruh dan komprehensif di 148 cawangannya di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

BIPF adalah dana borong aset campuran patuh syariah dengan pelaburan dalam Skim Pelaburan Kolektif (CIS), akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang.

 

Peruntukan aset dinamik dana bertujuan untuk menghasilkan potensi peningkatan modal serta pengagihan pendapatan tahunan.

 

BIPF akan melabur maksimum 70% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) Dana di CIS yang diuruskan oleh pengurus, dan minimum 30% daripada NAB Dana akan dilaburkan ke dalam akaun pelaburan Bank Islam, deposit Islam dan instrumen pasaran wang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, pihaknya meneruskan usaha inovatif dalam bidang pelaburan syariah dan ESG, menyediakan penyelesaian untuk memenuhi keperluan semua pelabur.

 

Najmuddin Mohd. Lutfi
Najmuddin Mohd. Lutfi

 

“Kami mengharapkan pasaran yang lebih baik apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19. Pelancaran Dana Bank Islam Premier adalah tepat pada masanya.

 

“Oleh kerana kadar deposit 12 bulan kini sekitar 1.80% disebabkan pemotongan OPR, Dana ini menawarkan alternatif kepada pelabur sofistikated yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sama. – DagangNews.com