Dana khas RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dana khas RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang kali ke-42, hari ini.

BERA 15 Okt - Dana khas RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan RM100,000 kepada Persatuan Bekas Polis Pahang sebagai menghargai jasa pesara pasukan keselamatan itu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu juga bertujuan memastikan kebajikan pesara polis yang membantu menjaga keselamatan negara sepanjang perkhidmatan mereka, terus terjaga dan dibela.

 

“Apabila cakap soal pesara, mereka (pesara) selalu nak dengar pengumuman kerajaan khusus untuk pesara, tetapi kerajaan sebenarnya telah umum pelbagai pinjaman perniagaan, (misalnya) TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) yang diperuntukkan sejumlah besar, meliputi semua termasuk pesara.

 

“Jadi sebenarnya banyak program diumumkan kerajaan di bawah latihan Perkeso, HRD Corp yang tak sebut secara terperinci kepada pesara, namun jelas bahawa pesara memang tidak dipinggirkan,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang kali ke-42 hari ini.

 

Beliau turut memaklumkan pengecualian cukai kepada individu dan badan korporat yang memberi dana kepada persatuan atau badan yang tidak membuat keuntungan seperti Persatuan Bekas Polis Malaysia. 

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya difahamkan buat masa ini anggota Persatuan Polis Diraja Malaysia tidak mempunyai badan perunding yang utama bagi menyelaras dan mengkaji kebajikan melalui tabung yang boleh mencukupi untuk pelarasan bantuan ini.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

Selain itu, beliau juga difahamkan bahawa Tabung Wang Amanah Pencen (TWAP) tidak dapat menampung secara konsisten bayaran bantuan kepada para bekas polis negara.

 

"Saya memberi komitmen, sekiranya kerajaan hari ini terus memimpin negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diarahkan untuk menyelaras serta mengkaji keperluan mereka dalam memastikan keperingan pihak persatuan polis terus terbela.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang kali ke-42.

 

"Saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sumbangan yang dapat diberikan oleh persatuan bekas polis kepada seluruh Keluarga Malaysia dengan berbekalkan pengalaman perkhidmatan yang sedia ada serta semangat disiplin yang tinggi. - DagangNews.com