Dana unit amanah antarabangsa pertama ASNB ditawar serendah RM10  | DagangNews Skip to main content

Dana unit amanah antarabangsa pertama ASNB ditawar serendah RM10 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan ASN Imbang 3 Global, dana unit amanah pertama yang mempunyai portfolio pelaburan dalam pasaran antarabangsa.


ASN Imbang 3 Global yang merupakan unit amanah harga berubah, ditawarkan kepada semua rakyat negara ini dengan pelaburan permulaan minimum RM10.


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, ASN Imbang 3 Global akan mengambil peluang untuk melabur di pasaran berpotensi terpilih di luar negara untuk menjana pendapatan dan seterusnya memberi pulangan kepada pelabur. 


Katanya, dana ini memberi peluang kepada pelabur tempatan untuk menerima pulangan daripada pelaburan di luar negara, tanpa mereka perlu melakukannya sendiri.


"Ini menjadikan kos pelaburan mereka lebih murah dengan potensi pulangan lebih besar daripada pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

dana

 


ASN Imbang 3 Global dilancarkan oleh Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada majlis pelancaran Minggu Saham Digital hari ini.


Sejak dana itu ditawarkan dalam pasaran terhad mulai 16 September lalu, sebanyak RM290 juta telah dilanggan melibatkan lebih 5,000 pelabur.


ASN Imbang 3 Global sesuai untuk mereka yang mencari destinasi pelaburan dengan risiko sederhana dan mengharapkan peningkatan modal dan pulangan daripada pelaburan untuk jangka panjang.


Mohammad berkata, tabung dana itu yang berada dalam kategori Aset Campuran Imbang, akan melabur dalam portfolio pelbagai yang terdiri daripada sekuriti tersenarai dan tidak tersenarai, pendapatan tetap dan instrumen pasaran tunai.


“Kira-kira 65% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) tabung ini akan dilaburkan dalam pasaran ekuiti manakala selebihnya dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang termasuk aset mudah cair," jelasnya.


Beliau memberitahu, ASN Imbang 3 Global akan mengguna pakai strategi berhati-hati dan bertahan dengan sebarang keputusan pelaburan adalah dibuat berdasarkan prestasi ekonomi dan pasaran saham semasa.


Penanda aras prestasi yang ditetapkan untuk ASN Imbang 3 Global ialah gabungan prestasi antara MSCI All Country World Index (ACWI) dan Deposit Tetap 12-bulan Maybank.


Memandangkan ia adalah dana harga berubah, harga jualan dan beliannya berubah berdasarkan NAB dana. 


Bagaimanapun disebabkan ASN Imbang 3 Global menggunakan mekanisma harga hadapan, penilaian NAB hanya akan dibuat selepas pukul 5.00 petang hari berikutnya berikutan perbezaan zon masa pasaran luar negara. - DagangNews.com