Data PMI September meningkat, penganalisis optimis pemulihan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Data PMI September meningkat, penganalisis optimis pemulihan ekonomi negara

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh IHS Markit yang meningkat pada September mencerminkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi. 

 

Pada bulan tersebut, petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 48.1 pada September daripada 43.4 yang dicatatkan pada Ogos.

 

IHS Markit Jumaat lalu, menjelaskan walaupun bacaan terkini itu masih berada di bawah paras neutral 50.0 bagi menunjukkan penurunan momentum dalam sektor berkenaan, namun kadar penyusutannya adalah jauh kecil berbanding tempoh 3 bulan lalu.

 

Sehubungan itu, AmInvestment Bank Research dalam nota kajian hari ini menjangkakan ekonomi pada suku keempat akan berkembang sederhana sekitar 2% meskipun ia menguncup pada kadar 3.5% pada suku ketiga. 

 

Katanya, ini didorong oleh keyakinan syarikat pengeluar terhadap prospek ekonomi didorong terutamanya oleh peningkatan kadar vaksinasi yang dijangka mencecah 90% pada bulan ini dan pembukaan semula ekonomi. 

 

"Selain itu, mereka juga optimis terhadap dagangan dan pertumbuhan global yang stabil, harga komoditi yang kukuh dan pakej rangsangan yang mampu merangsang semula aktiviti pembuatan.

 

"Mengambil kira semua faktor ini, kami menjangkakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini sekitar 3 hingga 3.5%," katanya. 

 

Ketua Pakar Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, kenaikan PMI bagi September memberi petunjuk jelas bahawa kelonggaran sekatan akibat pandemik baru-baru ini, di peringkat domestik dan di banyak pasaran eksport utama, sedang mendorong peningkatan ekonomi.

 

Beliau yang memetik Indeks Pengekangan Covid-19 IHS Markit berkata, sekatan bertujuan memerangi virus itu dilaksanakan semula di Malaysia sehingga mencatatkan paras terendah sejak April, memudahkan pengeluaran dan membantu meredakan penyusutan permintaan.

 

Sementara itu, Public Investment Bank Research optimis terhadap prospek dalam tempoh terdekat apabila situasi COVID-19 semakin bertambah baik. 

 

Katanya, keadaan ini akan mendorong kerajaan membuka sepenuhnya ekonomi pada awal suku keempat terutama dengan kadar vaksinasi akan mencecah 90%. 

 

"Usaha memastikan pekerja sektor pembuatan divaksinkan secepat mungkin dengan mendirikan pusat vaksinasi di kilang pembuatan yang berskala besar dilihat satu petanda baik bagi keseluruhan sektor ini.

 

"Malah, permintaan terpendam (pent-up demand) bagi memenuhi aktiviti musim perayaan (seperti Krismas dan Tahun Baharu Cina), permintaan tertangguh dan aktiviti menambah semula bekalan akan memacu keseluruhan pengeluaran dan seterusnya indeks prestasi ini pada tempoh terdekat," jelasnya.

 

Firma itu juga mendapati trend PMI pembuatan juga konsisten di rantau ini termasuk Indonesia (September: 52.2; Ogos: 43.7), Thailand (September: 48.9; Ogos: 48.3), Singapura (September: 53.4; Ogos: 44.3) dan Filipina (September: 50.9; Ogos: 46.4).

 

Sebaliknya, Vietnam pula merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang kurang mencatat pertumbuhan pada bulan tersebut dengan indeks tersebut kekal pada 40.2 pada September dan Ogos.

 

"Ini secara tidak langsung, menunjukkan sektor pembuatan ASEAN kembali pulih selepas berdepan tempoh mencabar sejak beberapa bulan lalu akibat penularan pandemik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

"Oleh itu, ia dijangka meningkat dengan lebih baik pada suku keempat apabila ekonomi ASEAN hampir dibuka sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com