'DataKITA' terajui ekosistem data negara | DagangNews Skip to main content

'DataKITA' terajui ekosistem data negara

DataKITA

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan inisiatif DataKITA sebagai pemangkin kepada ekosistem data yang sedang berkembang pesat di Malaysia. 

 

Inisiatif yang dilancarkan bersempena Bulan Teknologi Malaysia 2020 (MTM 2020) itu telah dilancarkan secara rasmi dalam acara maya DataKIta.Pulse pada 21 hingga 22 November baru-baru ini.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, DataKITA akan mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi tata dunia baru berkenaan data, yang dipacu oleh teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang menggesa keterbukaan perniagaan dan evolusi digital. 

 

“Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi dunia yang melangkaui norma baharu ini. Untuk mencapai tahap evolusi yang seterusnya dalam pembangunan negara ini, kita perlu menguasai teknologi-teknologi 4IR yang akan menguasakan ekonomi digital. 

 

"Dalam transformasi digital Malaysia menuju Malaysia 5.0, perniagaan perlu memanfaatkan sebaiknya ‘emas baharu’ ini iaitu data, agar dapat memahami pasaran dengan lebih baik, meningkatkan hasil, menguasai sektor-sektor baharu dan meningkatkan kecekapan mereka.

 

“Melalui DataKITA, kami akan memperkasakan rakyat Malaysia yang memiliki kemahiran digital, menggerakkan perniagaan yang dikuasakan digital dan menggalakkan para pelabur dalam sektor digital untuk menyertai populasi diterajui data ini, dalam usaha merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui inisiatif ini, MDEC akan bekerjasama dengan pelbagai perusahaan dan pihak berkepentingan dalam ekonomi data di negara ini.

 

Kerjasama itu bertujuan untuk memesatkan permulaan terhadap perniagaan dalam perjalanan transformasi data mereka melalui pendekatan yang berstruktur – memanfaatkan literasi data, analisis data, tadbir urus, perkongsian data dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence; AI).

 

Inisiatif DataKITA akan meningkatkan ketersediaan, ketercapaian dan kebolehgunaan data dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia melalui empat tunggak strategik iaitu;

 

  1. Pengetahuan: Mempromosikan Literasi Data
  2. Infrastruktur: Mewujudkan Persekitaran Diterajui Data
  3. Bakat: Membantu Membangunkan Golongan Profesional Data
  4. Tindakan: Mempercepatkan perusahaan perniagaan untuk Diterajui Data dan Bersedia untuk AI

 

Tambah beliau lagi, DataKITA akan menjadi penggerak utama untuk membantu Malaysia membangunkan ekonomi digital yang diterajui data agar muncul sebagai pasaran maju yang menjadi contoh global dalam menerajui pertumbuhan data yang pesat dalam masyarakat dan ekonomi. 

 

Inisiatif itu juga akan membantu pemain-pemain ekonomi Malaysia memanfaatkan hasil yang diunjurkan sebanyak AS$13 trilion yang akan disumbangkan oleh pelbagai aplikasi dijana data dalam ekonomi global menjelang 2030, seterusnya mengukuhkan posisi negara sebagai Jantung Digital ASEAN.

 

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Ekosistem Data MDEC, Ir. Dr. Karl Ng memberitahu, pihaknya mahu semua organisasi menyedari kepentingan transformasi data dan mengambil langkah awal yang amat penting bagi memulakan perjalanan data termasuk latihan menggunakan data dalam membuat keputusan, melabur dalam teknologi atau pengkomputeran awan selain mewujudkan jawatan berkaitan data dalam organisasi.

 

"Inilah objektif inisiatif DataKITA oleh MDEC dan kami menyeru perniagaan-perniagaan dan bakat-bakat teknologi di Malaysia untuk memulakan perjalanan data ini melalui acara DataKITA.Pulse," tambahnya. - DagangNews.com