Datasonic anjur CSR gotong-royong di Asrama Darul Falah | DagangNews Skip to main content

Datasonic anjur CSR gotong-royong di Asrama Darul Falah

KUALA LUMPUR 14 Jan - Datasonic Group Berhad meneruskan usaha tanggungjawab korporat untuk membantu anak-anak Asrama Darul Falah (ASDAF) dengan menganjurkan program "Gotong-Royong @ ASDAF" di asrama tersebut di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

 

Pengarah Komunikasi Strategik, Datasonic Group Berhad, Safia Hanifah berkata, Datasonic sentiasa menumpukan usaha untuk memberi pertimbangan dari segi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus yang baik dalam menjalankan operasi perniagaan.

 

"Program pada hari ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menyumbang kepada komuniti dan alam sekitar, melalui aktiviti gotong-royong dan penanaman pokok di Asrama Darul Falah,” ujarnya.

 

Program gotong-royong ini dianjurkan dengan usahasama pelajar-pelajar ASDAF dan kakitangan Datasonic yang secara sukarela mengambil bahagian untuk menceriakan kawasan asrama tersebut.

 

Safia juga berbesar hati untuk menanam sepohon pokok Pulasan di kawasan ASDAF sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancaran program.


 

datasonic
Safia Hanifah (kanan) menyampaikan buku-buku kepada Abdul Halim Mohamad.

 


Turut diadakan sempena program gotong-royong ini adalah sesi penyerahan buku-buku lama dan baru hasil sumbangan kakitangan Datasonic kepada Pengerusi ASDAF, Abdul Halim Mohamad.

 

Buku-buku ini  dikumpulkan menerusi inisiatif Charity Book Drop, yang diadakan sejak November 2022 dalam usaha membantu untuk mengembangkan lagi pilihan bahan bacaan di perpustakaan ASDAF.

 

Sejak awal tahun 2022, Datasonic telah mengadakan pelbagai program bersama-sama ASDAF, termasuk sumbangan penyelenggaraan struktur bangunan, Back-to-School Donation Drive, Iftar Ramadhan Datasonic, dan Fantastic 4 Lawn Bowls Tournament.

 

ASDAF adalah kemudahan khas untuk menampung dan menjaga kanak-kanak Orang Asli di peringkat menengah untuk tujuan pendidikan dan kebajikan.

 

Kini asrama ini menempatkan seramai 46 pelajar dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan mereka adalah anak-anak orang miskin dan yatim piatu. - DagangNews.com