Dayang Enterprise optimis terhadap prospek 2023, intai tender baharu | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise optimis terhadap prospek 2023, intai tender baharu

KUALA LUMPUR 20 April - Dayang Enterprise Holdings Berhad (DESB) optimis namun kekal berhati-hati terhadap prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) akan menjadi baik dengan peningkatan aktiviti ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Tengku Datuk Yusof Tengku Ahmad Shahruddin berkata, terdapat potensi untuk tender baharu untuk penyenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian dan kontrak sambungan dan pentauliahan yang akan memastikan operasi kumpulan sibuk.

 

"Kami menjangkakan pelanggan akan melancarkan perbelanjaan pembangunan modal yang besar bagi meningkatkan pengeluaran minyak mentah dan gas sambil memberi penekanan terhadap aktiviti penyelenggaraan untuk meningkatkan produktiviti," katanya dalam laporan tahunan DESB 2022, lapor Bernama.

 

Pada masa sama, beliau berkata, kumpulan itu sedang meneroka segmen pasaran baharu dalam industri untuk mengukuhkan lagi kedudukan kapal sokongan luar pesisirnya dalam industri.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, kumpulan itu kembali mencatatkan untung bersih RM125.34 juta berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM435.68 juta yang dicatatkan pada 2021, didorong oleh pesanan kerja yang lebih tinggi dan peningkatan produktiviti pada semua bahagian.

 

Kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM984.18 juta berbanding pendapatan RM667.74 juta pada 2021.

 

"Asas kumpulan kekal kukuh dengan kedudukan kewangannya lebih sihat disebabkan aliran tunai operasi yang kukuh," katanya. - DagangNews.com