Dayang terima lanjutan kontrak PM8E Seligi daripada Enquest Petroleum sehingga Disember 2024 | DagangNews Skip to main content

Dayang terima lanjutan kontrak PM8E Seligi daripada Enquest Petroleum sehingga Disember 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Dayang Enterprise Holdings Berhad menerusi Dayang Enterprise Sdn. Bhd. bersetuju untuk menerima pindaan dan lanjutan kontrak penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) PM8E Seligi daripada Enquest Petroleum Production Malaysia Ltd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lanjutan kontrak itu adalah bagi tempoh setahun lima bulan dan 19 hari sehingga 31 Disember 2024. 

 

"Bagaimanapun, nilai kontrak adalah berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan Enquest sepanjang tempoh kontrak," katanya.

 

Mengenai faktor risiko, Dayang berkata, ia merangkumi risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan binaan, perubahan harga bahan, perubahan persekitaran politik, ekonomi dan kawal selia. 

 

"Sepanjang tahun, DESB telah mempamerkan rekod prestasi dan kepakarannya dalam melaksanakan projek-projek ini.

 

"Namun, DESB hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak," jelasnya. 

 

Menurut Dayang, kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada saham terbitan syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com